KUALA LUMPUR, 24 Julai – Kejayaan pendaki solo Orang Kelainan Upaya (OKU), T Ravichandran yang menjadi pendaki pertama Malaysia menawan Gunung K2 yang merupakan gunung kedua tertinggi di dunia, disifatkan sebagai satu semangat yang luar biasa dan perlu dibanggakan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata semangat dan jiwa Ravichandran juga harus dijadikan contoh teladan.

“Semangat dan jiwa anak Malaysia T Ravichandran juga harus dijadikan contoh teladan untuk anak bangsa kita.

“Kejayaan T Ravichandran sudah pasti merupakan antara hadiah tak ternilai untuk bulan merdeka nanti. Syabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Ravichandran menjadi pendaki pertama Malaysia menawan Gunung K2 yang merupakan gunung kedua tertinggi di dunia.

Beliau berjaya menamatkan pendakian pada ketinggian 8,611 meter bersama lima pendaki solo terhebat dunia pada Jumaat lalu.

“Saya berasa bangga sebagai rakyat Malaysia, saya antara yang pertama berjaya sampai ke puncak gunung kedua tertinggi di dunia iaitu Gunung K2 di ketinggian 8,611m, yang terletak di Pakistan pada 22 Julai (Jumaat) jam 10.50 pagi bersama 5 pendaki solo terhebat dunia, diiringi 5 Sherpa.

“Pada 12 Mei lalu, saya juga telahpun mengibarkan bendera di gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest di ketinggian 8,848m di Nepal,” katanya menerusi kenyataan ringkat di WhatsApp hari ini.

Ravichandran juga berkata beliau berjaya kibarkan Jalur Gemilang di puncak K2 sebagai tanda semangat kemerdekaan yang seharusnya rakyat Malaysia tidak lupakan pada 31 Ogos depan.

Katanya, semangat cintakan negara, hidup dalam aman dan harmoni, itu kunci perpaduan yang patut disemai dalam jiwa di mana ia menjadi kekuatan untuk beliau harungi kesukaran sepanjang pendakian.

“Terima kasih kepada isteri saya yang tercinta, anda adalah kekuatan untuk saya berjaya.

“Tidak lupa kepada keluarga, rakan-rakan, penaja-penaja dan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya sampai ke puncak,” katanya.

Tambah Ravichandran, menjadi seorang OKU tidak memperlihatkan diri beliau lemah, sebaliknya mampu berjaya dengan membina kekuatan dalam diri, setanding dengan yang sempurna.

Katanya, tiada yang mustahil untuk bangkit kembali jika beliay terjatuh.

“Itu pengalaman pendakian yang saya tempuh dalam ekspedisi kali ini.

“Ini hadiah saya buat rakyat Malaysia. Merdeka,” katanya.

Antara penaja yang menyokong penuh usaha Ravi mendaki ke puncak adalah syarikat air minuman tenaga beroksigen MYPW.