Berdasarkan penelitian dan kaji selidik yang telah dilakukan, rata-rata rakyat gembira kerana SOSMA telah diluluskan kembali.

Ini adalah kerana rentetan tindakan segelintir individu yang semakin berani melakukan penghinaan, cemuhan serta upaya membangkitkan permusuhan dan kebencian kaum namun tiada satu undang-undang khusus yang dapat menghukum mereka.

Kita harus sentiasa bersedia dan mengambil pengajaran daripada sejarah pencerobohan yang berlaku beberapa tahun lepas di Sabah dan sedar ancaman terhadap kedaulatan negara boleh berlaku bila-bila sahaja dan harus dikekang daripada berulang.

Bermula dengan cabaran ke atas pihak berkuasa negara termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), mahupun Perlembagaan Persekutuan membabitkan kedudukan Islam, Melayu-Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Kebangsaan, sehinggalah kepada yang bersifat cubaan menimbulkan permusuhan.

Perlu diingat Akta SOSMA adalah satu langkah yang tepat untuk mendidik masyarakat supaya timbul kesedaran dan kepentingan undang-undang pencegahan yang tegas bagi melindungi negara dan rakyat, sekali gus menyekat pergerakan kumpulan ekstremis, kumpulan militan dan kumpulan jenayah terancang.

Dengan pemerkasaan akta SOSMA, diharap dapat memberi motivasi pada pihak berkuasa khususnya PDRM untuk meneruskan usaha bagi membendung aktiviti jenayah individu atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara dengan ancaman-ancaman baru yang merentas sempadan.

Penulis adalah Mahathir Mohd Rais, Ketua Bahagian BERSATU Segambut. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.