KUALA LUMPUR, 24 Julai – Desakan bekas timbalan menteri belia dan sukan, Steven Sim agar Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan punca ketiadaan acara Terjun Wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 membuktikan bahawa dirinya gagal memahami mengenai penganjuran kejohanan itu.

Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata walaupun telah dijelaskan berkali-kali mengenai punca ketiadaan acara Terjun Wanita kerana tidak mempunyai bilangan penyertaan mencukupi, namun Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu masih menolak kenyataan itu malah cuba untuk mempolitikkan ia.

“Justeru, Yang Berhormat Steven Sim dinasihati agar berhenti untuk mempolitikkan isu ini dan memberi ruang kepada Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan untuk menjalankan tugasnya demi
pembangunan sukan tanah air.

“Selain itu, Yang Berhormat Steven Sim juga diharap tidak menggunakan nama atlet negara untuk kepentingan politik sendiri. Selaku bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat seharusnya lebih matang dengan perkara seperti ini.

“Sekali lagi saya mengingatkan Yang Berhormat Steven Sim untuk menghentikan niat melaga-lagakan pihak berkepentingan dalam industri sukan negara demi tujuan politik kotor. Percayalah, rakyat memerhati dan bijak membuat penilaian sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lalu, Steven menggesa kerajaan memandang serius kenyataan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg mengenai ketiadaan acara membabitkan penerjun wanita dalam Sukan Malaysia (SUKMA), September ini.

Steven berkata, Ahmad Faizal perlu mengambil serius mengenai sektor sukan yang baginya berada dalam ‘krisis’ sejak penularan COVID-19.