KUALA LUMPUR, 24 Julai – Dua pimpinan Tertinggi BERSATU yakin usul sekali lagi untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk lima tahun lagi akan diluluskan apabila dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris berkata usul itu sepatutnya tidak dibantah oleh wakil rakyat kerana SOSMA untuk kepentingan negara.

“InsyaAllah akan dibahas di sesi khas Dewan Rakyat pada 27 Julai ini dan saya yakin lulus tanpa belah bahagi,” katanya kepada Penerangan BERSATU.

Tambah Razali, SOSMA dapat membendung jenayah terancang, ancaman pengganas dan elemen-elemen yang boleh gugatkan negara serta masyarakat majmuk.

Pada 20 Julai lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, yang menolak usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk lima tahun lagi.

Usul yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diluluskan di Dewan Rakyat selepas keputusan undian belah bahagian.

Keputusan diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun itu menyaksikan seramai 105 Ahli Parlimen bersetuju, 83 Ahli Parlimen tidak bersetuju manakala 32 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

Ia sekaligus membolehkan KDN mengemukakan semula usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA yang akan berakhir 31 Julai ini di Dewan Rakyat.

Mac lalu, usul berkenaan ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan KDN tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata kejayaan usul yang dibawa oleh Hamzah di Dewan Rakyat untuk membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu merupakan langkah awal untuk mempertahankan salah satu undang-undang yang amat penting untuk keselamatan serta kesejahteraan rakyat negara ini.

Katanya, setelah ketiadaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hanya SOSMA, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Hasutan merupakan salah satu senjata terkuat pasukan keselamatan negara dalam membendung jenayah terancang, ancaman pengganas serta elemen-elemen yang boleh menggugat keharmonian masyarakat yang berbilang kaum di negara ultra majmuk seperti Malaysia ini.

“Ia juga menunjukkan bahawa majoriti ahli-ahli Parlimen negara kita masih waras dan rasional dalam soal undang-undang.

“Sebagai rakyat negara ini, kita perlu membantu mempermudahkan serta memperkasakan tugas para anggota keselamatan negara kita terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut,” katanya.