Tidak mudah untuk saya ulas isu ini kerana dalam adab berkawan, saling menjaga perasaan merupakan satu tuntutan.

Tetapi membiarkan isu ini berlalu begitu sahaja bukanlah perkara yang wajar kerana ia merupakan isu besar. Isu yang menarik perhatian banyak pihak dalam Perikatan Nasional (PN) umumnya dan BERSATU khususnya.

Saya mengaku agak terkejut apabila membaca tajuk berita itu, dan menjadi lebih terkejut apabila membaca kandungannya.

“Kalau boleh kita memerintah bersendirian di Kedah. Bukan kita menumpang kerajaan campuran. Orang tumpang kita, kita menguasai kerajaan, seboleh-bolehnya begitu.”

Itu sebahagian daripada kata-kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang (TGHH) dalam Amanat Khas Presiden dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, malam kelmarin.

Saya ambil petikan itu daripada laporan Harakah Daily. Kalau media lain yang melaporkannya saya mungkin sedikit was-was. Mereka mungkin sengaja memutar-belitkan berita. Lain yang dicakap, lain yang ditulis.

Tetapi Harakahdaily sebagai media rasmi PAS tentu tidak akan berbuat demikian.

Banyak kawan-kawan bertanya saya apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh TGHH kerana kenyataan itu jelas tidak mencerminkan semangat Perikatan Nasional (PN).

Selama ini PAS bersama PN. Sama seperti BERSATU, PAS bekerja keras mempertahankan perikatan itu daripada pelbagai kerja khianat musuh-musuh perpaduan Melayu/Islam.

Banyak kalangan melihat hubungan PAS dan BERSATU melalui PN merupakan titik-titik manis dalam politik Melayu/Islam di negara ini. Kedua-dua pihak jelas saling menjaga.

Di sebalik kerjasama itu PAS dan BERSATU tetap menghormati hak masing-masing. Sebab itu apabila TGHH membuat kenyataan PAS tetap bersama Muafakat Nasional (MN) dan PN, BERSATU menerimanya dengan berlapang dada. Yang penting selagi PAS menjaga kerukunan hubungan dengan rakan-rakan dalam PN, parti itu berhak menjalin muafakat lain dengan mana-mana pihak sekalipun.

Apabila Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan mengenai jajaran baharu dan ‘khemah besar’, PAS menolaknya. BERSATU menerima keputusan itu dengan penuh rasa hormat dan hubungan antara kedua-duanya tidak pun terjejas.

Dengan semangat setiakawan itulah apabila PN berjaya membentuk kerajaan dengan diterajui oleh PAS di Kedah pada Mei 2020, BERSATU memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Dengan semangat kerjasama yang padu, BERSATU tidak meminta yang bukan-bukan. Stering diserahkan sepenuhnya kepada PAS.

Hasilnya, kerajaan PN Kedah menjadi antara kerajaan yang paling stabil di negara ini sekarang.

Ada juga suara-suara sumbang berbunyi bahawa PAS selaku peneraju PN Kedah seolah-olah tidak berbuat apa-apa untuk mengukuhkan kedudukan perikatan tersebut. Banyak aktiviti lebih khusus kepada kepentingan parti bukannya PN secara menyeluruh.

Tetapi suara-suara itu berlalu begitu sahaja. BERSATU dan rakan-rakan lain dalam PN yakin PAS tidak akan membelakangkan kawan.

Sebab itulah apabila TGHH membuat kenyataan bahawa ‘kalau boleh PAS mahu memerintah Kedah secara bersendirian’, ramai yang terkebil-kebil. Apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan itu? Apakah PAS tidak mahu lagi bersama PN menjelang PRU15 nanti? Dari kenyataan TGHH agak jelas bahawa PAS sebolehnya mahu membentuk kerajaan sendiri ‘…bukan kita menumpang kerajaan campuran.’

Saya tidak mahu meneka jawapan, sebaliknya saya mengharapkan diberi jawapan. Saya percaya ramai lagi rakan-rakan dalam BERSATU dan komponen-komponen PN lainnya mengharapkan jawapan yang sama.

Sekurang-kurangnya kami dapat mempertahankan PAS jika ada yang menuduh ia mahu makan di semua kolam!

Penulis adalah Lt Kolonel Bersekutu (PA) Abdul Razak Khamis, Ketua Bahagian BERSATU PendangIni pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.