KUALA LUMPUR, 25 Julai – Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Isnin menyeru penglibatan syarikat-syarikat korporat untuk bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menjayakan Program Sekolahku Sejahtera: Cinta Alam bagi melahirkan generasi yang cinta akan alam sekitar.

Beliau berkata, sebuah program di bawah inisiatif itu yang bakal dilaksanakan membabitkan sekolah-sekolah berdekatan dengan 20 lokasi telah dipilih melibatkan pusat-pusat konservasi di seluruh negara, memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk mengembangkan lagi program itu secara meluas.

“Program ini adalah satu komponen di bawah konsep Sekolahku Sejahtera, iaitu H (Harmoni) kerana kebiasaannya kita bercakap tentang keharmonian sesama manusia, namun kita jarang bercakap mengenai keharmonian antara manusia dengan alam.

“Sebab itu dalam konteks ini kita ingin lahirkan generasi yang sentiasa dekat dengan alam sekitar dan secara tidak langsung akan menimbulkan kesedaran bukan sahaja memastikan kebersihan alam sekitar tetapi juga dapat memastikan flora dan fauna kita dapat hidup dengan baik,” katanya kepada pemberita pada Program Eksplorasi Alam Lestari di Zoo Negara di sini pada Isnin.

Program Eksplorasi Alam Lestari itu merupakan program rintis di bawah inisiatif Sekolahku Sejahtera: Cinta Alam yang melibatkan kerjasama FGV Holdings Berhad dengan Yayasan Didik Negara dan KPM.

Program itu menyaksikan penyertaan seramai 100 pelajar sekolah rendah dari beberapa sekolah terpilih di Putrajaya.