ALOR SETAR, 24 Julai – Lebih 200 peserta terdiri dalam kalangan wanita dan ibu tunggal sekitar Kedah dan Perlis hadir menyertai Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di sini, pada Ahad.

Antara aktiviti yang diadakan adalah pengenalan MyKasih Kapital, taklimat program MAMACARE, Skuad Waja, Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual (AGS) 2021 dan perkongsian tip daripada usahawan yang berjaya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata mereka yang hadir mengikuti program dengan misi menjana pendapatan demi memperkasakan ekonomi diri dan keluarga.

“Alhamdulillah, para perserta menunjukkan minat dan semangat selepas mendengar perkongsian kejayaan daripada mentor-mentor usahawan berjaya, yang merupakan rakan strategik bagi program ini.

“Melalui siri-siri Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM sebelum ini, lebih 10,500 wanita telah dibantu menjana pendapatan. InsyaAllah, lebih ramai wanita akan dibantu,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Dalam pada itu, Rina berkata sesi penerangan RUU AGS 2021 ini turut disampaikan dalam program ini.

Beliau yang juga Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, berkata sesi penerangan itu bertujuan sebagai usaha mempromosi lagi RUU ini yang baharu sahaja diluluskan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

“Penerangan telah disampaikan oleh Puan Shahida daripda Bahagian Dasar dan Pembangunan Strategik KPWKM.

“Semoga semakin ramai sedar akan kesalahan gangguan seksual untuk membela dan melindungi mangsa-mangsa supaya ia tidak menjadi budaya dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya.

Pada Rabu lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Antigangguan Seksual 2021 dengan lebih suara bersetuju selepas lebih 10 tahun ia dirangka.

Ia diluluskan dengan pindaan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dan dibahas 26 Ahli Parlimen.

RUU tersebut adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual.

Penggubalan undang-undang ini bukan untuk menghukum pesalah kes gangguan seksual, tapi lebih kepada mendidik masyarakat bahawa budaya ini adalah satu kesalahan jenayah.