KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diminta untuk campur tangan bagi membela nasib pekerja serta keluarga mereka yang terlibat dengan penamatan perkhidmatan 15 pekerja Ketengah Holdings Sdn Bhd (KHSB).

Ketua Penerangan BERSATU Terengganu, Badrolhisham Mohd Shafie berkata pihaknya amat bimbang sekiranya tindakan yang dibuat tanpa diberikan alasan kukuh penamatan sebagaimana didakwa adalah berunsurkan “campur tangan politik”.

“Penamatan 15 kakitangan KHSB akan menjejaskan pendapatan keluarga secara mengejut dalam keadaan ekonomi negara yang sedang dilanda inflasi.

“Sebagai sebuah anak syarikat milik kerajaan, sewajarnya KHSB mendokong dasar kerajaan yang berusaha menjana pendapatan rakyat dan memperluaskan peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, seramai 15 pekerja anak syarikat KHSB menuntut penjelasan daripada pengurusan tertinggi syarikat punca mereka ditamatkan perkhidmatan lebih awal daripada tempoh sepatutnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Niaga & Tours Sdn. Bhd, Mohd Nuhairi Muhammad berkata, pemecatan itu dibuat tanpa alasan yang kukuh selain diberi notis mengejut sehingga menjatuhkan maruah mereka.

Katanya, tindakan berkenaan tidak wajar dilakukan oleh sebuah agensi kerajaan yang diamanahkan untuk menjaga rakyat namun sebaliknya pula berlaku apabila mereka kini hilang mata pencarian secara tiba-tiba.

Nuhairi berkata pekerja terlibat menerima notis tersebut pada 18 Julai lalu dan diarahkan untuk tidak datang bekerja pada 19 Julai lepas.

Dalam pada itu, Badrolhisham berkata BERSATU Terengganu amat berdukacita dan kesal dengan Tindakan Pihak Pengurusan Ketengah Holdings Sdn Bhd atas tindakan yang dibuat.

Katanya, untuk rekod, sebelum penamatan pekerja KHSB, pihak pengurusan Ketengah telah menamatkan perkhidmatan pengerusi-pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah Anak-anak Syarikat Ketengah bermula pada 16 Jun lalu secara terpilih.

Beliau berkata penamatan itu dibuat sebaik sahaja Datuk Seri Ahmad Said mengambil alih jawatan pengerusi Ketengah pada 1 Jun lalu.

“Kenaikan harga sawit sejak 3 tahun lepas, telah membolehkan KHSB menjana pendapatan syarikat yang amat kukuh.

“Seharusnya prestasi baik syarikat membolehkan KHSB memperkembangan operasi dengan membuka luas peluang pekerjaan bukan sebaliknya,” katanya.