Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengawal selia kenaikan harga barangan kerana besar kemungkinan negara akan berhadapan dengan situasi hiperinflasi sekiranya tiada langkah-langkah intervensi yang terkawal dan berkesan diambil segera.

Pertama, Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia menunjukkan trend peningkatan di mana indeks makanan meningkat kepada 6.1 peratus yang menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi. Antara makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (+10.5 peratus), nasi berlauk (+9.7 peratus), masakan daging (+7.8 peratus) dan makanan berasaskan mi (+7.0 peratus).

Kedua, minyak dan kos bahan mentah menjadi sebab utama kepada peningkatan ini, oleh yang demikian menjadi tanggung-jawab kerajaan melalui pihak autoriti untuk mengawal selia barangan ini.

Jika kerajaan tidak mengambil langkah proaktif segera, sudah tentunya akan memberi kesan terhadap kos sara hidup dan peningkatan terhadap harga-harga barang yang akan membebankan rakyat bukan dari sudut kehidupan mereka sahaja akan tetapi kesihatan mental mereka juga.

Selain itu, kerajaan juga perlu menetapkan harga-harga siling bagi barangan keperluan harian yang lebih baik dan efektif selain jaringan kese­lamatan sosial yang berstruktur perlu dijalankan.

Antara langkah lain yang boleh diambil oleh kerajaan mungkin menilai semula cadangan “pegging” nilai ringgit pada suatu kadar yang bersesuaian sementera waktu agar kesan ke atas kos eksport dan import dapat dikurangkan.

Kerajaan juga perlu fokus kepada jaminan sekuriti makanan ekoran saiz populasi yang semakin meningkat di Malaysia dengan memandang serius penegasan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penubuhan semula Majlis Sekuriti Makanan Negara. Muhyiddin melihat lebih jauh kehadapan dan lebih ideanya komprehensif.

Menerusi pengaktifan semula majlis berkenaan, kerajaan boleh meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara, sekali gus mencari jalan mengatasi krisis yang dihadapi. Ini kerana krisis makanan dihadapi kini adalah isu global yang turut memberi tempias kepada Malaysia.

Ini sebagai pelan sokongan kepada penyelesaian kekurangan bekalan asas makanan dalam negara yang dihimpit inflasi. Bila inflasi, kita kena perbanyakkan pengeluaran dalam negara dan kurangkan aliran wang keluar.

Penulis adalah Mohammad Ferris Mohd Fasiah, Ketua Armada BERSATU Sabak Bernam. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.