KUALA LUMPUR, 25 Julai – Pengasas atau peniaga produk kosmetik tidak boleh menggunakan gelaran profesional seperti doktor untuk mengiklankan produk di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata peraturan itu termaktub dalam garis panduan pengiklanan untuk kosmetik yang dikeluarkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Pada masa sama, katanya, pengasas produk kosmetik tidak boleh membuat tuntutan perubatan atau berlebihan mengenai produk masing-masing hingga melampaui skop takrifan kosmetik, iaitu membersih, mewangi atau mencantikkan.

“Berdasarkan garis panduan pengiklanan untuk kosmetik dikeluarkan NPRA, penggunaan gelaran profesional seperti doktor untuk pengesyoran kosmetik adalah dibenarkan, kerana ia secara tidak langsung memberi tanggapan individu itu memberi nasihat profesional dan pengesahan kepada produk berkaitan.

“Jika penjualan kosmetik membabitkan orang profesional seperti doktor, maklumat akan disalurkan kepada badan profesional yang mengawal selia amalan doktor untuk tindakan selanjutnya.

“Tindakan regulatori seperti amaran iklan dan pembatalan notifikasi produk akan diambil sekiranya ia didapati diiklankan dengan tuntutan perubatan atau tuntutan melampaui skop takrifan kosmetik,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang bertanyakan tindakan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani doktor media sosial yang melariskan jualan kosmetik berisiko menyebabkan kesan sampingan kepada pengguna.

Dr Noor Azmi memaklumkan, KKM memantau 1,775 iklan kosmetik bernotifikasi sepanjang tahun lalu hingga Jun tahun ini, dengan 283 amaran iklan dikeluarkan kerana membuat tuntutan yang tidak mematuhi garis panduan kosmetik, selain 104 kosmetik dibatalkan status notifikasi kerana membuat tuntutan perubatan atau melampaui skop takrifan kosmetik.

“KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menerima 86 aduan penjualan kosmetik tidak bernotifikasi secara dalam talian sepanjang tahun lalu sehingga Jun tahun ini, dan berdasarkan pengesahan aduan, sebanyak 444 premis diserbu dengan nilai rampasan berjumlah RM4,338,629.

“Selain itu, sejumlah 714 iklan kosmetik tidak bernotifikasi telah diarahkan untuk diturunkan di platform e-dagang dalam negara sejak tahun lalu sehingga Jun 2022,” katanya.