KUALA LUMPUR, 25 Julai – Tindakan kerajaan memberi jaminan projek mega seperti Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3), pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) akan diteruskan adalah satu langkah yang betul.

Ketua Bahagian BERSATU Ledang, Mohd Solihan Badri berharap projek-projek yang telah dirancang di Johor diteruskan dan tidak ditangguh.

“Diharap diteruskan projek-projek yang telah dirancang di Johor sebab kita telah kaji teliti bahawa projek-projek berkenaan memang memberi kesan besar kepada pembangunan ekonomi dan sosial di Johor.

“Jadi saya minta kerajaan negeri ada sekara f terus bersama kerajaan,” katanya kepada Penerangan BERSATU.

Solihan juga berkata idea-idea daripada peringkat negeri juga perlu dibawa kepada kerajaan Persekutuan agar dapat ‘diangkat’ dalam Rancangan Malaysia ke-12 nanti.

Pada 21 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hanya 30 projek tidak akan diteruskan melibatkan kos kira-kira RM100 juta.

Mustapa berkata, projek yang telah dikenalpasti ditangguhkan pada tahun ini melibatkan pembinaan pusat pemprosesan getah bersepadu di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan perolehan peralatan bagi memodenkan bengkel dalam bidang elektrikal di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Selain itu katanya, projek lain ialah projek kerjasama pusat latihan teknologi tinggi dengan institusi pendidikan dan latihan di luar negara di bawah KSM dan projek penyelidikan strategik di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).