PUTRAJAYA, 26 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan inisiatif pengoperasian luar waktu pejabat di beberapa Klinik Kesihatan (KK) di sekitar Lembah Klang bagi menangani isu kesesakan di hospitalnya.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pengoperasian luar waktu pejabat itu adalah sehingga jam 9 atau 10 malam, bergantung pada keperluan setempat.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan untuk mengurangkan kehadiran pesakit di Wad Kecemasan di hospital, terutama membabitkan mereka yang tidak berdepan situasi yang memerlukan rawatan segera.

“Kita ketika ini sedang menjalankan ‘extended hour’ (pengoperasian di luar waktu pejabat) di beberapa klinik di Kuala Lumpur dan Selangor, maknanya ia buka sampai malam.

“Kakitangan terpilih itu akan ada waktu tugas mengikut syif. Itu antara langkah yang dijalankan untuk menguraikan pesakit kerana tidak semua yang datang ke Wad Kecemasan di hospital yang boleh duduk di Zon Merah.

“Sesetengahnya boleh duduk di Zon Hijau, yang boleh dirawat di KK saja, tidak perlu ke hospital,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kualiti dan Kajian Pegawai Dietetik Ketiga, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kesesakan di hospital KKM sejak akhir-akhir ini.

Kebiasaannya, pesakit yang menghadapi masalah kesihatan di luar waktu pengoperasian KK dinasihatkan untuk terus ke Wad Kecemasan hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Dr Noor Azmi berkata, pengoperasian luar waktu pejabat pernah dilaksanakan sebelum ini, namun dihentikan ekoran penularan wabak COVID-19.

Selain itu, beliau berkata, KKM turut mempunyai sistem pengklusteran hospital, yang membolehkan pesakit dirawat hospital daerah yang berada dalam kluster masing-masing.

Terdahulu, ketika berucap, Dr Noor Azmi mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu leka dan terus berusaha mengekang wabak COVID-19 supaya ia tidak kembali merebak.

“Kebimbangan kita hari ini, takut ada lonjakan lagi, takut ada gelombang lain. Kita risau kerana di dunia, kes semakin naik dengan varian BA.5, di Malaysia pun semakin naik.

“Kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU), penggunaan ventilator semua naik, walaupun kematian masih lagi satu digit,” katanya.

Beliau berkata, biarpun varian berkenaan tidak seteruk Delta, ia berisiko tinggi kepada individu yang sudah berusia atau komorbid.