KUALA LUMPUR, 26 Julai – Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan agar satu tabung makanan disediakan melalui dana pinjaman bank-bank komersial perdagangan di negara ini.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertimbangan melalui Bank Negara itu perlu dilaksanakan sebagai usaha meningkatkan sumber pengeluaran makanan negara.

“MPN membincangkan supaya bank negara mempertimbangkan satu tabung makanan atau fund for food.

“Kita minta supaya di peringkat institusi kewangan, bank-bank komersial perdagangan Malaysia menyediakan pembiayaan daripada sebahagian pinjaman mereka.

“Ini untuk menggalakkan pengusaha-pengusaha, penanam-penanam, dan petani-petani meneroka secara lebih agresif untuk mengeluarkan sumber makanan yang diperlukan oleh negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN ke-7.

Tambahnya, melalui tabung makanan mampu mengurangkan beban tekanan inflasi ketika ini.

“Dengan cara itu mungkin dapat mengurangkan beban tekanan inflasi yang dihadapi oleh penduduk kita terutamanya dalam kategori B40,” katanya.

Sebelum ini kerajaan bersetuju peruntukan RM100 juta Tabung Agromakanan yang dikawal selia Bank Negara disalurkan kepada koperasi dalam usaha meningkatkan tahap sekuriti makanan negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sektor koperasi memainkan peranan penting dalam melonjakkan jaminan keselamatan makanan, khususnya bekalan ayam.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata kerajaan juga disyor agar menyegerakan perlaksanaan subsidi bersasar untuk mengurangkan tekanan inflasi yang dihadapi rakyat golongan B40 dan B50.

“Kerajaan perlu mengkaji semula bentuk subsidi yang telah digunakan selama ini cukup besar mungkin dicadangkan supaya subsidi bersasar dilaksanakan.

“Hanya mereka yang berhak dan layak dalam kategori B40, B50 diberikan tumpuan lebih kerana lebih 50 peratus daripada subsidi kerajaan sediakan dinikmati oleh orang yang berpendapatan tinggi,” katanya.