KOTA KINABALU, 26 Julai – Permohonan parti politik lain untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi GRS pada Oktober depan.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan tiada sebarang perbincangan mengenai keputusan permohonan parti lain yang ingin menyertai GRS dalam mesyuarat, Ahad lalu.

“Dalam mesyuarat lalu, kita tidak membincangkan itu (keputusan penyertaan parti lain dalam GRS), tetapi kita akan bincangkan permohonan itu dalam mesyuarat akan datang.

“Mesyuarat akan datang kemungkinan diadakan pada Oktober, jadi di sana baru kita putuskan,” katanya selepas hadir Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) kepada penerima di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan keputusan GRS berkaitan permohonan beberapa parti untuk sertai gabungan itu.

Hajiji bagaimanapun sekali lagi mengulangi pendirian bahawa GRS sentiasa terbuka kepada parti-parti yang menerima perjuangan gabungan itu terutama kepada parti tempatan.

“Kita mahu cuba satu padukan mereka dalam satu gabungan iaitu gabungan rakyat Sabah.

“Jadi beri ruang kepada kami untuk memikirkan perkara itu dan kita akan buat yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Ditanya berhubung persiapan jentera GRS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Hajiji memaklumkan bilik gerakan telah diarahkan untuk diaktifkan.

“Kita telah buat persediaan dan mengarahkan bilik gerakan supaya aktif dan tubuhkan jentera pilihan raya masing-masing di setiap Parlimen. Kita juga akan jelajah seluruh Sabah,” katanya.

Pada Ahad lalu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah memaklumkan bahawa mesyuarat bersama Ahli Majlis Tertinggi GRS itu perbincangan mengenai persiapan jentera GRS untuk menghadapi PRU15.