PUTRAJAYA, 26 Julai – Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu di sekolah dan institusi pendidikan dalam usaha menangani penularan influenza atau penyakit seperti influenza (ILI) hanya akan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pada masa sama, semua pihak perlu mematuhi tatacara asas termasuk tidak ke sekolah atau ke institusi pendidikan sekiranya disahkan mengalami jangkitan penyakit itu.

“SOP baharu… mungkin mereka (KPM) ada SOP sendiri. Pada asasnya, kalau sesiapa yang mengalami influenza atau Penyakit Seperti Influenza (ILI), duduk di rumah sajalah.

“Jangan pergi sekolah dan tabika. Selain itu, (jaga) kebersihan diri dengan kerap cuci tangan menggunakan sabun serta jangan bercampur dengan orang lain bagi mengelakkan daripada menjangkiti orang lain.

“Selain itu, keraplah mencuci peralatan di sekolah dan di rumah, tetapi SOP khas untuk (institusi pendidikan) mungkin KPM boleh terangkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kualiti dan Kajian Pegawai Dietetik ke-tiga, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata kementeriannya bersedia mengaktifkan pelan kontigensi kesihatan susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan ILI di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya perlu mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu sebelum melaksanakan pelan itu.