1. Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan “Bahawa Majlis ini membuat suatu ketetapan menurut subseksyen 4(11), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkahlangkah Khas) 2012 supaya subseksyen 4(5), Akta itu hendaklah terus berkuatkuasa bagi tempoh 5 tahun lagi mulai dari 31 Julai 2022”.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) [Akta 747] merupakan suatu Akta yang digubal khusus untuk mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah khas yang berhubungan dengan kesalahan keselamatan bagi maksud mengekalkan ketenteraman awam, keselamatan dan perkara-perkara yang berkait dengannya.
  2. Kesalahan-kesalahan keselamatan khusus yang boleh diambil tindakan di bawah Akta ini adalah seperti berikut:

i. Bab VI (Kesalahan Terhadap Negara) Kanun Keseksaan [Akta 574];
ii. Bab VIA (Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Keganasan) Kanun Keseksaan;
iii. Bab VIB (Jenayah Terancang) Kanun Keseksaan;
iv. Bahagian IIIA (Penyeludupan Migran) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670]; dan
v. Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 [Akta 770].

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Subseksyen 4(5) ini perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.
  2. Peruntukan subseksyen 4(5) Akta ini, memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan. Hal ini kerana, siasatan kes-kes yang melibatkan kesalahan keselamatan
    terutamanya jenayah keganasan dan jenayah terancang adalah rumit dan kompleks serta memerlukan masa untuk dilengkapkan, terutamanya bagi mendapatkan keterangan daripada orang yang ditahan semasa pengumpulan bukti-bukti yang berkaitan bagi tujuan pendakwaan, termasuklah pengesanan rakan-rakan sejenayah yang masih bebas.
  3. Walau bagaimanapun, Parlimen memperuntukkan sunset clause, untuk menyemak semula peruntukan tersebut setiap 5 tahun.
  4. Selain itu, di bawah subseksyen 4(3), dinyatakan dengan sejelas-jelasnya, iaitu tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya. Namun, ini tidak bermakna seseorang ahli politik itu kebal daripada siasatan di bawah SOSMA. Sekiranya Ahli Yang Berhormat termasuklah diri saya sendiri atau sesiapa sahaja, melakukan kesalahan keselamatan maka tindakan tetap boleh diambil di bawah SOSMA.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Sepanjang 2 kali sesi perbahasan berkaitan SOSMA pada tahun ini, banyak isu hak individu dibangkitkan. Perlu ditegaskan, Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan membolehkan kerajaan menggubal undang-undang bagi menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya. Walaupun undang-undang itu berlawanan dengan mana-mana peruntukan di bawah Perkara 5 iaitu kebebasan diri atau Perkara 9, Larangan Buang Negeri dan Kebebasan Bergerak atau Perkara 10, Kebebasan Berhimpun, Bercakap dan Menubuhkan Persatuan dan Perkara 13, Hak Terhadap Harta.
  2. Walaupun begitu, SOSMA tetap menyediakan peruntukanperuntukan yang menghormati hak individu seperti di seksyen 5, yang membenarkan orang yang ditahan untuk berunding dengan pengamal undang-undang pilihannya dan peluang jaminan sekiranya memenuhi kriteria untuk diberikan jaminan seperti yang dinyatakan di seksyen 13, SOSMA 2012.
  3. Menyentuh isu tahanan tanpa bicara, saya ingin jelaskan, SOSMA menghendaki orang yang ditahan perlu dituduh jika bukti mencukupi. Ini dinyatakan dengan sangat jelas di dalam seksyen 12
    SOSMA iaitu semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Walaupun Akta memperuntukkan 28 hari untuk melakukan penyiasatan, namun secara realitinya pihak polis hanya mempunyai tempoh 21 hari sahaja untuk membuat penyiasatan. Hal ini berikutan 7 hari sebelum tamat tempoh 28 hari tersebut, pihak polis perlu menyerahkan Kertas Siasatan yang telah lengkap kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut. Sekiranya berdasarkan penilaian oleh Jabatan Peguam Negara terdapat bukti-bukti yang menyokong penglibatan seseorang yang ditangkap, maka tindakan pendakwaan di mahkamah akan dibuat.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Dalam tempoh siasatan tersebut juga, pihak polis perlu mengkaji segala maklumat hasil siasatan mahupun mendapatkan maklumat dari agensi-agensi penguatkuasa yang lain seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Tempoh ini amat kritikal di mana agensi yang dirujuk tersebut perlu membekalkan maklumat yang diperlukan oleh pihak polis di dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum tamatnya 21 hari siasatan.
  2. Tambahan pula, tangkapan yang melibatkan kesalahankesalahan seperti penyeludupan migran dan keganasan memerlukan kerja-kerja penyiasatan yang lebih mendalam dan terperinci sekaligus
    menjadi lebih rumit berikutan golongan ini mempunyai rangkaian luar negara serta ideologi tersendiri. Kes merentasi sempadan ini memerlukan bantuan dari negara luar bagi tujuan pengumpulan
    maklumat dan permohonan ini memerlukan masa yang lama.
  3. Tempoh 28 hari ini juga sangat penting kerana pihak PDRM memerlukan masa terutamanya bagi meyakinkan saksi-saksi untuk memberikan pernyataan. Seksyen 14 dan 16 SOSMA, adalah mengenai saksi yang dilindungi dan merupakan peruntukan mengenai kaedah khas saksi memberi keterangan. Walau bagaimanapun, ianya amat sukar dan memakan masa untuk meyakinkan saksi kerana ia
    melibatkan keselamatan saksi dan ahli keluarga.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Terdapat pandangan yang memohon PDRM menggunakan peruntukan reman dalam Kanun Tatacara Jenayah (KTJ). Sayugia diingatkan bahawa proses siasatan kesalahan SOSMA mengikut KTJ
    adalah tidak sesuai dan akan berhadapan dengan pelbagai kekangan.
  2. Oleh itu, ia adalah tidak menepati tujuan subseksyen 4(5) ini diadakan iaitu untuk memelihara kerahsiaan operasi dan siasatan pihak polis terutamanya bagi siasatan yang melibatkan kumpulan yang besar dan ahli yang ramai sekiranya seksyen 117 KTJ digunapakai. Kebarangkalian untuk orang tahanan berkomunikasi dengan tahanan lain juga sangat tinggi dan ia boleh mengganggu proses siasatan termasuk rantaian bukti dan usaha pihak PDRM untuk menahan suspek-suspek lain yang masih bebas serta wujud risiko ancaman keselamatan kepada saksi kes.
  3. Selain itu penggunaan seksyen 117 KTJ adalah terhad kepada pelaku utama kepada sesuatu kes, menjadikan ianya sukar dalam pelaksanaan bagi kesalahan-kesalahan yang diperincikan dalam
    Jadual Pertama SOSMA. Siasatan SOSMA turut melibatkan individu yang mempunyai pengaruh, kuasa atau material dalam sesuatu kesalahan keselamatan yang dilakukan.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Dalam tempoh selepas usul pelanjutan tempoh kuat kuasa ini tidak diluluskan pada 23 Mac 2022, kejadian jenayah terancang terus berlaku. Sebagai contoh, kejadian tembakan di Sungai Petani di mana si mati adalah orang yang dikehendaki pihak PDRM kerana disyaki terlibat dalam jenayah terancang dan dadah. Selain itu, seorang lelaki yang juga merupakan saksi kes bunuh telah ditetak sampai mati di Klang. Ini adalah sebahagian dari contoh-contoh kes yang mana penjenayah-penjenayah di luar sana masih bebas dan tanpa rasa gentar terus melakukan jenayah.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Kita tidak perlu membuat perbandingan dengan antara Akta Kesalahan Keselamatan (ISA) 1960 dan SOSMA 2012. Banyak perbezaan dan perkara-perkara yang digubal untuk membuktikan SOSMA adalah satu akta memberi peluang dan hak yang cukup untuk orang tahanan dari sudut undang-undang.
  2. Jika kita ingin berhujah mengenai konsep keadilan, seperti yang saya tegaskan, akta ini juga memberikan keadilan buat orang yang ditahan seperti peluang untuk berjumpa peguam dan kes-kes kesalahan keselamatan ini juga dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Perlu diingat, keadilan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan keselamatan negara serta rakyat secara keseluruhan adalah sesuatu yang perlu diberi keutamaan.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Kita tidak boleh berkompromi dengan anasir-anasir yang mengancam keselamatan negara dan tugas pihak PDRM serta semua agensi keselamatan di negara adalah bagi memastikan negara ini aman dan selamat untuk didiami.

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.