KUALA LUMPUR, 26 Julai – Dewan Rakyat meluluskan usul pelanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma selama lima tahun lagi walaupun mendapat tentangan daripada pihak pembangkang.

Terdahulu, pembangkang gagal dalam usaha menyekat usul berkenaan semasa undi belah bahagi apabila seramai 111 ahli parlimen mengundi menyokong, 88 mengundi menentang, manakala 21 lagi tidak hadir.

Usul itu telah dibentang oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pagi tadi.

Penguatkuasaan subseksyen 4(5) Sosma akan memberikan kuasa khas kepada polis untuk menahan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah akta itu sehingga 28 hari.

Dengan lulusnya usul itu membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Subseksyen itu bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas di bawah subseksyen itu, untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah Sosma sehingga 28 hari.

Pada 20 Julai lalu Dewan Rakyat meluluskan pembatalan keputusan untuk tidak melanjutkan Subseksyen 4(5), Sosma yang akan membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan sehingga 28 hari.

Pembentangan kali kedua untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5)  dibuat selepas usul itu gagal diluluskan pada pembentangan pertama 23 Mac lalu apabila 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak sokong dan 50 Ahli Parlimen pula tidak hadir.