KUALA LUMPUR, 27 Julai – Seramai 17,304 iaitu 15.4 peratus peneroka mengusahakan tanam semula secara individu daripada 112,638 jumlah peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah peneroka yang mengusahakan tanam semula bersama Felda pula adalah 84.6 peratus.

“Daripada 17,304, jumlah peneroka yang tanam semula secara individu sebanyak 8,501 peneroka menghantar hasil melalui paysheet Felda iaitu 49.1 peratus.

“Manakala 50.9 peratus peneroka menghantar hasil mereka kepada peraih luar,” katanya sewaktu pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang bertanyakan jumlah peneroka Felda yang mengusahakan tanam semula secara individu dan apakah faktor yang mendorong mereka melaksanakan perkara tersebut.

Mustapa menambah, faktor-faktor yang mendorong peneroka mengurus tanam semula secara individu adalah antaranya seperti peneroka tidak ingin berkongsi pendapatan secara blok atau secara peringkat, isu perwarisan dan tiada kesepakatan waris untuk mengurus kebun.

Selain itu, faktor lain kata Mustapa adalah ingin berdikari dan berpandangan mampu untuk mengurus kebun, isu kekurangan buruh di ladang serta anak peneroka yang kembali ke Felda bagi menguruskan kebun.