KUALA LUMPUR, 27 Julai – BERSATU bukan parti pengkhianat seperti dilabelkan sesetengah pihak kerana situasi dalaman Pakatan Harapan yang mendorong parti itu berundur daripada pakatan berkenaan.

Ketua Penerangan Armada BERSATU Malaysia, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, fakta ini sering dilupakan pengkritik atau tidak mahu diambil tahu bila melabelkan BERSATU parti pengkhianat.

Menurutnya, situasi BERSATU di dalam PH sangat genting, seolah-olah dianaktirikan oleh parti-parti komponen lain dalam pakatan berkenaan.

Katanya, situasi itu diburukkan lagi dengan ego dan ideologi yang berbeza biarpun bersama-sama mendapat mandat dalam melaksanakan dasar negara.

“Ketika itu, Tun Dr. Mahathir telah mengarahkan Muhyiddin untuk membangunkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang fokusnya adalah untuk membantu golongan yang berhak mendapat bantuan secara saksama.

“Namun, sayangnya ramai pihak dalam PH tidak setuju dan menolak dasar tersebut malah menyamakannya dengan Dasar Ekonomi Baharu 2.0 tanpa kita laksanakan dengan baik pun lagi,” katanya ketika dihubungi SatuBerita baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas komen penganalisis politik, Profesor Datuk Dr. Zainul Fithri Othman dalam artikel ‘Kematian BERSATU semakin terserlah’ yang mengatakan BERSATU akan terkubur apabila parti itu dilabel sebagai parti pengkhianat.

Menurut Mohd Ashraf, dalam keadaan PH yang sedang bergolak dengan ideologi yang berbeza, penyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tidak berhenti mendesak Tun Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada beliau.

“Yang satu pihak lagi tidak henti-henti meratib bila Anwar mahu jadi PM. Namun, bila ramai yang tidak setuju dengan dasar WKB 2030 itu, apabila Anwar jadi PM dia akan teruskan kah dasar itu? Mungkin itu kerisauan Tun Mahathir dan Muhyiddin ketika itu?” ujarnya.

Malah menurut beliau, krisis PH pada ketika itu semakin membarah apabila pakatan berkenaan sedang mengalami defisit kepercayaan daripada pengundi Melayu sekaligus mendorong kepada kejatuhan pakatan itu.

“Data daripada pusat kajian ketika itu menyatakan sokongan orang Melayu kepada PH sudah jatuh malah ke atas Tun Mahathir sendiri juga sudah merudum ekoran isu-isu besar pada 2018 yang telah menyakitkan hati orang Melayu seperti ICERD, kematian anggota bomba Muhammad Adib dan sebagainya.

“Mereka masih mahu keras kepala dalam keadaan PH sudah hilang kepercayaan daripada orang Melayu,” ujarnya.

Susulan itu, Mohd Ashraf menasihati pihak di luar sana untuk tidak sewenangnya meletakkan label ‘pengkhianat’ ke atas parti BERSATU tanpa menyelidik permasalahan dan isu dalaman yang dihadapi parti berkenaan ketika bersama PH.

Mengulas kenyataan BERSATU disifatkan parti yang akan terkubur, Mohd Ashraf menegaskan andaian dan analisis yang dibuat tidak semestinya menentukan masa hadapan dan kelangsungan sesebuah parti politik.

“Sama seperti andaian orang ramai yang disokong oleh data mengatakan UMNO menang PRU-14, tapi lihat kesudahannya bagaimana? Jadi tidak semestinya analisa itu mencerminkan keputusan,” katanya. – Satu Berita