KUALA LUMPUR, 27 Julai – Satu laporan polis dibuat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan kedua-duanya telah mengundang campur tangan asing dalam urusan politik domestik negara ini.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard dalam laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini mendakwa laporan itu dibuat pihaknya berdasarkan pendedahan bekas Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang didakwa telah dibenarkan masuk ke Malaysia secara sulit.

“Sebagai Timbalan Presiden Indonesia sudah tentu setiap perjalanannya melibatkan agensi risikan Indonesia.

“Perkara ini didedahkan sendiri oleh Jusuf Kalla dalam satu wawancara di Metro TV Indonesia yang mana beliau menyatakan secara khusus penglibatannya menjadi orang tengah sehingga mewujudkan perjanjian bertulis antara Anwar dan Najib,” katanya ketika sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Tambah Badrul Hisham, laporan polis ini dibuat mendesak supaya semua agensi keselamatan negara mengambil serius dan menyiasat segera perkara tersebut.

“Sikap ahli politik Najib dan Anwar telah meletakkan negara dalam risiko tinggi,” dakwanya lagi.