ARAU, 27 Julai – Kolaborasi penyelidikan pertanian di negara ini perlu dipergiatkan agar proses untuk menghasilkan varieti baharu produk pertanian dapat dipercepatkan dan menjimatkan kos.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata tanpa kerjasama daripada semua pihak dan agensi, kajian penyelidikan bukan hanya mengambil masa yang lama tetapi melibatkan perbelanjaan yang besar.

“Kita tidak boleh lari daripada mengadakan kolaborasi penyelidikan bersama pihak lain kerana sebagai contoh untuk hasilkan varieti baharu padi bermutu tinggi secara bersendirian, ianya memakan masa lebih daripada 10 tahun dan perbelanjaan hampir RM1 juta,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Terdahulu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli menghadiri majlis penyerahan Stesen Penyelidikan Hibrid Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Perlis – Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin (YTSS).

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Exco Pertanian Negeri & Industri Asas Tani Nurulhisham Yaakob, Ketua Setiausaha MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Ronald berkata MAFI telah mula lakukan kolaborasi dengan kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam melakukan penyelidikan bersama.

Katanya, dengan adanya kerjasama ini diharap pada masa akan datang sektor pertanian negara akan menjadi satu sektor yang moden, ke hadapan dari segi aplikasi teknologi, peralatan dan juga kajian terhadap varieti baharu pertanian.

“Kita juga harapkan sektor pertanian terus menyumbang kepada perubahan ekonomi negara,” katanya.