PUTRAJAYA, 27 Julai – Lebih sejuta pengguna dijangka menyertai Cabutan Bertuah Belanja dan Menang Program Jualan Malaysia (PJM) 2022 bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, PJM yang bergerak menerusi lapan program utama sejak Januari lalu menawarkan jualan murah merangkumi segmen musim perayaan, jualan mega, jualan akhir tahun dan jualan khusus di seluruh negara.

Ia menyasarkan capaian nilai jualan sektor peruncitan sebanyak RM 500 billion pada tahun ini.

Kata beliau, bagi tempoh enam bulan bermula Januari lalu, sebanyak 7,035 notis jualan murah dan 210,491 premis mengadakan jualan murah di seluruh negara berbanding 180,756 premis bagi sepanjang tahun 2019 sekali gus menjadi penanda aras sangat baik pemulihan sektor peruncitan.

“Melalui inisiatif tersebut, kementerian melonggarkan syarat-syarat notis jualan murah bagi membolehkan peniaga mengadakan jualan murah tanpa had masa berbanding hanya empat kali setahun sahaja sebelum ini.

“Inisiatif Ease of Doing Business ini menunjukkan kesan sangat positif kepada landskap pemulihan sektor peruncitan dan membantu mempercepatkan pertumbuhan semula ekonomi domestik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran Cabutan Bertuah Belanja dan Menang PJM 2022 di IOI City Mall di sini pada Selasa.

Rosol berkata, dengan sokongan semua pemain industri, sasaran 300,000 premis mengadakan jualan murah pada tahun ini boleh dicapai sekali gus memberi lebih pilihan penjimatan kepada pengguna untuk perbelanjaan keluarga.

Jelasnya lagi, promosi cabutan bertuah itu merupakan strategi untuk meningkatkan penyertaan pemain industri bagi mengadakan lebih banyak jualan murah di seluruh negara.

Ini termasuk menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi MySales Tracker yang diperkenalkan KPDNHEP.

“Orang ramai yang berbelanja melebihi RM100 dalam satu resit layak untuk menyertai cabutan bertuah ini dengan mengemukakan penyertaan melalui pautan di aplikasi MySales Tracker.

“Cabutan ini menawarkan hadiah sangat menarik iaitu hadiah utama berupa sebuah kereta Proton X50 selain berpeluang memenangi Perodua Ativa, motosikal Yamaha Y15, perabot, barangan elektrik, peralatan telekomunikasi dan baucer beli belah,” ujarnya.