KUALA LUMPUR, 27 Julai – BERSATU Puchong mengucapkan setinggi tahniah kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin yang telah berjaya membawa usul penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan dan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) yang diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

Ketua Bahagian BERSATU Puchong Mohd Shukor Mustaffa berkata sepatutnya tiada kompromi berkaitan dengan kedaulatan dan keselamatan negara dari apa jua ancaman.

“Kerana keselamatan rakyat lebih utama dan penting dari mempertahankan agenda politik sempit.

“Sepatutnya sokongan tiada berbelah bahagi 100 peratus,” katanya ketika dihubungi Penerangan BERSATU.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Usul tersebut dibentangkan semula oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas Dewan Rakyat pada minggu lalu meluluskan usul membatalkan keputusan dewan pada 23 Mac lepas.

Usul Subseksyen 4(5) SOSMA itu diluluskan selepas undi belah bahagian, dengan menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 88 Ahli Parlimen tidak bersetuju, manakala 21 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

Hamzah ketika sesi penggulungan menafikan dakwaan bahawa subseksyen berkenaan adalah satu akta yang zalim.

Mengulas lanjut, Mohd Shukor melahirkan kehairanan apabila seramai 88 Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Katanya, ini mencerminkan nilai sebenar pemimpin yang bertopengkan haiwan daripada memikirkan keselamatan dan nyawa rakyat negara ini.

“Pemimpin seperti ini yang sepatutnya dibuang pada PRU yang akan datang kerana tiada perasaan untuk melindungi dan memastikan keselamatan rakyat yang memilihnya,” katanya.