KUALA LUMPUR, 27 Julai – Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tenang menjawab pertanyaan Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang walaupun bertalu-talu ditanya soalan oleh pembangkang ketika ketika membahaskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Muhyiddin berkata beliau boleh berkawan dengan pihak pembangkang tetapi menegaskan soal undang-undang tidak ada kompromi.

“Saya nak jelaskan, saya ambil tindakan berasaskan undang-undang dan tanggungjawab diamanahkan oleh Kabinet.

“Saya bersama kamu semua, jangan lupa, sebagai kawan saya masih bersama kamu, soal prinsip dan tanggungjawab itu yang diputuskan oleh Kabinet dan saya tahu sampai sekarang tidak ada keputusan Kabinet,” katanya di Dewan Rakyat ketika dipersoalkan tanggungjawabnya sebagai Menteri Dalam Negeri semasa zaman Pakatan Harapan.

Sebelum itu RSN Rayer (PH-Jelutong) bertanya mengapa beliau selaku Menteri Dalam Negeri membuat keputusan untuk menahan seorang exco kerajaan daripada DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran pada 2019.

“Adakah Yang Berhormat yakin dan ada bukti mencukupi mereka terlibat dalam keganasan ataupun jenayah yang boleh mengancam negara?” soal Rayer.

Muhyiddin menjelaskan, beliau hanya mengambil tindakan mengikut prosedur dan laporan telah diteliti oleh pihak polis.

“Sebagai menteri bertanggungjawab, saya mesti percaya dan yakin kepada polis. Pasal saya bukan penyiasat. Waktu saya ambil tindakan, tidak ada keputusan (batalkan SOSMA), jemaah menteri dipimpin oleh Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk mengatakan batal semula ke atau jangan mengambil langkah sebegitu ke.

“Saya tertakluk kepada arahan Kabinet walaupun kuasa terletak di bawah Menteri Dalam Negeri, tapi tidak ada. Malahan waktu itu, tak ada juga satu keputusan mengatakan batalkan SOSMA, saya masih ingat, bukan lama sangat, tahun 2018..2019.

“Jadi atas dasar itu, saya percaya waktu saya berada di situ pihak Pakatan Harapan (PH) pun kata mungkin perlu ada SOSMA, tak ada keputusan spesifik,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan beliau dibidas oleh Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam).

“Memang kita ada perbahasan dalam Kabinet, sehingga kita bawa Ayub Khan datang untuk jelaskan dan kita telah berhujah dengan dia dan kita minta supaya ia dikaji kembali.

“Jangan nak menipu dalam Dewan, kalau nak cerita, cerita sepenuhnya..jangan cerita sebahagian,” katanya.

Muhyiddin mengakui sememangnya ada kajian mengenai SOSMA namun tidak ada keputusan muktamad yang dibuat kerajaan.

“Kaji itu kenapa? Kalau tak setuju kenapa nak kaji? Kita memang membantah,” kata Khalid.

Sesi perbahasan bagaimanapun semakin tegang apabila Rayer sekali lagi menuntut penjelasan Muhyiddin berhubung penangkapan ADUN dan exco DAP beberapa tahun lalu.

“Apa bukti yang menunjukkan bahawa ADUN dan exco DAP terlibat dalam keganasan..mana ada bukti, sehingga hari ini tidak ada bukti.

“Kenapa mengkhianati kami dan menyebabkan ADUN kami ditahan di bawah SOSMA? Bagi penjelasan. Kamu mengkhianati kami,” tegas Rayer.

Muhyiddin tetap mempertahankan keputusannya sebelum ini dan menegaskan beliau tidak pernah mengkhianati mana-mana pihak.

“Segala apa yang dibuat oleh pihak berkuasa polis adalah berdasarkan pada siasatan yang mereka buat, saya tak boleh kata kepada ketua polis negara, ini kau bohong atau tak betul.

“Kalau tak ada bukti, dah sah tak ada bukti, maka pihak berkuasa buat keputusan,” katanya.

Namun, Rayer membalas: “Kamu adalah Menteri Dalam Negeri kami, kenapa tak pertahankan, kita dalam gabungan yang sama,” katanya.

Muhyiddin berkata “Minta maaf, kita tak nak gaduh. Saya nak jelaskan, saya ambil tindakan berasaskan undang-undang dan tanggungjawab diamanahkan oleh Kabinet.