KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yakin Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) ini akan dapat ditadbir urus secara berstruktur dan dilaksanakan dengan teratur.

Ini susulan Rang Undang–Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Housewives’ Social Security Bill 2022) telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Menteri KPWKM Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata RUU ini menjadi salah satu program perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah di Malaysia.

“Syabas dan terima kasih Kementerian Sumber Manusia dan Menterinya YB Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan Menteri YB Hj Awang Hashim kerana berjaya mereaslisasikan RUU ini.

“Usaha ini selaras dengan hasrat KPWKM untuk menjaga dan melindungi kebajikan gologan wanita termasuklah suri rumah khususnya ketika berlakunya situasi luar jangka atau perubahan mengejut dalam rumah tangga seperti suri rumah mengalami hilang upaya kekal atau keilatan.

“Selain itu, pelaksanaan skim ini juga menyokong usaha kearah meningkatkan kesejahteraan kehidupan wanita, memperkukuhkan institusi keluarga dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan sosial,” katanya.

Semalam, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diluluskan di Dewan Rakyat bertujuan untuk melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

RUU itu diluluskan secara sebulat suara, antara lain membolehkan SKSSR dilaksanakan bagi menjaga kebajikan suri rumah akibat berlaku sebarang kejadian ketika menguruskan rumah tangga serta melindungi mereka daripada apa-apa penyakit yang menjejaskan kerja sebagai seorang suri rumah.

RUU dibentangkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim itu diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan lebih tiga jam oleh 19 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengumumkan RUU itu diluluskan tanpa pindaan selepas bacaan kali ketiga.

Awang ketika menggulungkan perbahasan RUU itu, berkata seramai 150,000 wanita yang berdaftar di bawah i-Suri akan dicarumkan oleh kerajaan melalui skim itu selaras yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Beliau berkata, melalui skim itu suri rumah yang layak diliputi adalah warganegara Malaysia dan pemastautin tetap berusia kurang 55 tahun.