KUALA LUMPUR, 27 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bukti mencukupi untuk membuat pertuduhan terhadap beberapa individu yang terbabit dalam skandal kontrak perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata SPRM juga dilaporkan sudah menyelesaikan beberapa bahagian kes dan mencadangkan pertuduhan terhadap suspek.

“Saya difahamkan pihak Jabatan Peguam Negara untuk memutuskan proses seterusnya.

“Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) sudah berkali-kali katakan kami tidak akan mempertahankan atau berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dalam proses perolehan LCS ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris (BERSATU-Libaran) yang memohon penjelasan mengenai tindakan terhadap salah laku pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kelewatan menyiapkan perolehan kapal LCS.

Ikmal Hisham berkata, Kementerian Pertahanan akan terus memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada SPRM berhubung isu terbabit.

“Kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan jika ada salah laku yang menyebabkan kelewatan (perolehan ini).

“Saya mengalu-alukan mana-mana pihak sekiranya mempunyai bukti baharu atau maklumat tambahan supaya terus melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, SPRM dilaporkan menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal LCS.

Mereka yang berusia 79 dan 49 tahun ditahan selepas hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM.