KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kerajaan sedang membuat kajian untuk melaksanakan bantuan subsidi bersasar terutama membabitkan petrol dalam menghadapi inflasi untuk tempoh jangka panjang.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, penjimatan daripada inisiatif ini dapat digunakan untuk disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Yang pertama, kerajaan masih lagi mempertimbangkan kemungkinan untuk kita laksanakan subsidi bersasar.

“Ada pelbagai pandangan, ada yang menyatakan ini bagus, ada yang menyatakan ini tidak bagus tetapi kerajaan sedang membuat satu kajian khusus berkaitan dengan minyak petrol.

“Kita sedia maklum, umpamanya tarif elektrik tidak dinaikkan untuk tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

“Ini telah menyebabkan kerajaan perlu membayar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira RM5.8 bilion.

“Maknanya kalau ikut harga pasaran, untuk menjana elektrik ini kita perlu arang batu, kita perlu gas, jadi kosnya naik, jadi kalau tidak naikkan tarif, kita terpaksa membantu, subsidinya RM5.8 bilion,” kata beliau.

Jelasnya, Malaysia antara negara yang mempunyai kadar inflasi terendah di rantau ini iaitu pada kadar 3.4 peratus berbanding negara-negara lain.

Hal ini disebabkan oleh bantuan subsidi yang diperkenalkan oleh kerajaan sepanjang tempoh menghadapi krisis global seperti inflasi serta cabaran pandemik dan krisis Rusia-Ukraine.

Malah, katanya nilai bantuan subsidi yang diperuntukan oleh kerajaan diunjurkan lebih tinggi dari peruntukan pembangunan iaitu RM77 bilion berbanding RM75 bilion.

Ujar beliau, sekiranya tiada bantuan subsidi, seperti yang disahkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi negara boleh mencapai paras 11.4 peratus berbanding 3.4 peratus ketika ini.

“Dalam konteks ini, saya ingin jelaskan bahawa inflasi negara walaupun 3.4 peratus, negara-negara tertentu termasuk Amerika Syarikat, 9.06 peratus, tertinggi dalam tempoh 40 tahun.

“Eropah umpamanya, 8.6 peratus, tetapi di United Kingdom (UK) 9.4 peratus, negara-negara seperti Turkeye, lebih 70 peratus, Sri Lanka lebih 50 peratus, Argentina pula 65 peratus.

“Jadi sebenarnya di rantau di dunia, kita antara kadar inflasi paling rendah, di rantau ini yang rendah sedikit ialah China iaitu 2.5 peratus,” tambah beliau lagi.

Mustapa berkata, bagi memastikan bantuan subsidi lestari dan mampan, kerajaan akan memfokuskan usaha dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Untuk tempoh jangka pendek, kerajaan memberi tumpuan bantuan kepada rakyat, bagi jangka masa sederhana, memperkukuhkan kekuatan fiskal negara dan bagi tempoh jangka panjang, kerajaan akan terus menumpukan usaha kepada pelaksanaan subsidi harga minyak negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual program Agenda AWANI yang disiarkan pada Selasa malam bertajuk ‘Strategi Keluar Miskin Tegar’.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Jun 2022 meningkat 3.4 peratus kepada 127.4 berbanding 123.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kenaikan ini jelasnya, melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 iaitu 1.9 peratus.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Makanan meningkat 6.1 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan Jun 2022.