KUALA LUMPUR, 27 Julai – UMNO digesa mencontohi kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memerintah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sanggup memotong gajinya untuk membantu rakyat.

Ketua Penerangan BERSATU Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata pemimpin tertinggi UMNO boleh mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berbuat demikian.

“Hari ini, beberapa pimpinan UMNO seperti Naib Presiden UMMO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui tiada negara yang berjaya menurunkan inflasi dengan memotong gaji menteri.

“Beliau kemudian mencadangkan pemotongan gaji perlu dibuat sebagai tanda solidariti dan keinsafan terhadap kesusahan dan keperitan rakyat.

“Alangkah baik sekiranya mereka yang memegang jawatan tertinggi dalam UMNO menyeru agar Perdana Menteri dari UMNO untuk mencontohi sikap dan moral yang ditunjukkan oleh Muhyiddin sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Khairul, Perdana Menteri yang memotong gajinya untuk membantu rakyat tidak dapat dinafikan adalah Muhyiddin atau lebih dikenali dengan Abah Prihatin Negara.

Katanya, semasa negara dilanda pandemik COVID-19 dan rakyat terkesan dari sudut ekonomi mereka, kabinet di bawah Muhyiddin pada ketika itu memutuskan agar dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dipotong dan disalurkan kepada Tabung COVID-19.

“Ini bagi membuktikan kesungguhan kerajaan ketika itu untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak COVID-19,” katanya.

Bagaimanapun, Khairul berkata malangnya perkara itu tidak berlaku kerana bagi mereka, mencontohi Muhyiddin atau menyebut perkara yang baik yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu akan menyebabkan populariti mereka berkurang dan sokongan ke atas Muhyiddin akan bertambah.

Katanya, inilah sikap tidak matang dalam sesetengah kepimpinan politik di dalam negara.

“Rata-rata rakyat menyatakan rindu zaman Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan mereka harapkan Muhyiddin membuat sesuatu untuk membantu mereka di saat mereka bergelut dengan kesusahan sekarang ini.

“Pada zaman pemerintahan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemotongan gaji menteri kabinet dilakukan selama beberapa bulan selepas angkat sumpah diadakan,” katanya.