KUALA LUMPUR, 28 Julai – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Perikatan Nasional (PN) melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata PN akan menghantar delegasi untuk menemui Ismail Sabri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.

“Mesyuarat juga melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan YAB Perdana Menteri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi termaterma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan Perikatan Nasional.

“Sehubungan itu, Perikatan Nasional memutuskan untuk menghantar delegasi untuk menemui YAB Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang diadakan malam tadi, dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir, semua Presiden parti iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang, (Presiden PAS), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan (Presiden STAR), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee (Presiden SAPP) dan Senator Datuk Dr. Dominic Lau (Presiden GERAKAN) serta ahli-ahli Majlis Tertinggi PN.

Selain itu, Hamzah berkata mesyuarat antara lain telah membuat ketetapan berkenaan Majlis Pelancaran PN Negeri Terengganu pada 30 Julai 2022, penganjuran Konvensyen PN pada 27 Ogos 2022 sempena ulang tahun ke-2 Perikatan Nasional dan beberapa ketetapan penting bagi memperkemaskan kesiapsiagaan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).