KUALA LUMPUR, 28 Julai – Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) disertai Malaysia mampu menjadi instrumen yang boleh membantu dalam membincangkan dan mengurangkan kesan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap produk negara.

IPEF menyediakan rangka kerja strategik, platform dialog dua hala dan pelbagai hala untuk urusan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan AS serta rakan kongsi lain.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Malaysia ketika ini tidak memiliki struktur yang jelas untuk menjalin hubungan kerjasama ekonomi dengan AS.

“Sebab itu kita berhadapan dengan WRO di mana mereka mengeluarkan enam WRO terhadap syarikat tempatan dan ini akan mengekang eksport, produk serta perkhidmatan Malaysia ke AS.

“Saya percaya dengan adanya instrumen baharu ini, kita boleh jalin kerjasama dan mengadakan perbincangan dengan AS supaya mengurangkan kesan WRO serta isu yang terkait dengan perkara terbabit,” katanya menjawab soalan tambahan Steven Choong (PBM-Tebrau) di Dewan Rakyat, hari ini.

Choong meminta pandangan sama ada penyertaan Malaysia ke dalam IPEF hanya akan mengasingkan China sebagai rakan dagang utama.

Mohamed Azmin berkata, dalam keadaan yang semakin mencabar, Malaysia perlu memperkasakan integrasi ekonomi negara, tidak lagi boleh bertindak sendirian dan perlu menjalin hubungan ekonomi dengan pelbagai pihak, termasuk China, Kesatuan Eropah (EU) serta AS.

“Ingin saya tegaskan bahawa sebelum kita mengambil pendirian untuk menyertai IPEF, Malaysia bersetuju menyertai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan kita sudah meratifikasi perjanjian RCEP yang mana China adalah negara anggotanya.

“Ini membuktikan komitmen kita bukan sahaja untuk meneruskan, malah memperkukuhkan perdagangan serta pelaburan dengan China.

“China juga sudah mengemukakan permohonan untuk meyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang mana Malaysia sudah menandatangani perjanjian ini pada 2018 dan sekarang dalam proses untuk meratifikasi perjanjian terbabit,” katanya.

Justeru, beliau yakin pendirian yang diambil boleh membantu Malaysia untuk terus menjadi negara perdagangan utama di rantai ini.