KUALA LUMPUR, 29 Julai – Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan keperluan untuk ASEAN mempunyai kerangka yang mencapai ‘end game’ atau peringkat terakhir dalam menyelesaikan konflik Myanmar.

Ini susulan pelaksanaan hukuman bunuh ke atas empat aktivis demokrasi Myanmar pada Isnin lalu yang digambarkan sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan”, serta menunjukkan junta tentera negara itu mempermainkan Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui ASEAN sebelum ini.

Dalam satu kenyataan di Facebook, beliau turut menggesa agar pertemuan Utusan Khas Pengerusi ASEAN bersama Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (NUCC) diadakan segera.

“Sebelum ini, saya pernah mencadangkan agar Utusan Khas Pengerusi ASEAN bertemu NUG dan NUCC. Kini tiba masanya untuk pertemuan ini disegerakan dan beritanya dilaporkan.

“Selanjutnya, Sidang Kemuncak ASEAN November ini perlu membuat keputusan besar. Adakah K5P diteruskan? Dapatkah ia dibaiki? Atau diadakan sesuatu yang baharu?

“Setelah bertemu pelbagai pemegang taruh utama, termasuk NUG dan NUCC, dan usaha-usaha ini masih diteruskan, saya berpendapat ASEAN perlu mempunyai kerangka yang ada penamat permainan, dan jelas perkara/proses yang perlu dibuat untuk mencapai penamat permainan itu,” ujarnya.

‘End game’ yang perlu dicapai, tegasnya, ialah Myanmar yang demokratik, inklusif, adil, aman dan harmoni serta hak-hak sivil dan politiknya dijamin perlembaaan.

Sehubungan itu, ASEAN perlu mempunyai maklumat yang tepat berhubung apa yang sebenarnya berlaku dengan memperolehinya secara langsung daripada pihak-pihak terbabit.

“Ini diikuti dengan perundingan yang inklusif dan adil oleh semua pemegang taruh utama.

“Mereka perlu duduk semeja, dalam keadaan selamat, untuk mencari jalan melaksanakan kerangka ini, termasuk tentang perkara atau proses seperti: bantuan kemanusiaan yang adil dan telus, pelan dan pihak pelaksana transisi (gencatan senjata, penstabilan dan transisi), perlembagaan rakyat dan pilihan raya yang bebas dan disepakati semua,” kata Saifuddin.

Tegasnya, ASEAN perlu memainkan peranan sebagai fasilitator bersama-sama Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, dengan disertai sokongan komuniti antarabangsa.

Malaysia pada Selasa mengutuk sekeras-kerasnya pelaksanaan hukuman gantung ke atas empat aktivis demokrasi oleh junta tentera Myanmar yang merampas kuasa melalui kudeta tahun lepas.

Pada Mei lalu, Saifuddin mengadakan pertemuan tidak rasmi bersama rakan sejawatnya dari NUG Myanmar, Zin Mar Aung di Washington D.C.