SUNGAI PETANI, 29 Julai – Kerajaan Kedah menggalakkan syarikat yang menghasilkan produk dan perkhidmatan halal agar mengembangkan perniagaan ke luar negara sekali gus memenuhi pasaran global.

Menteri Besar Kedah Datuk, Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemasaran produk halal tidak sepatutnya bergantung kepada pasaran di Kedah semata-mata sebaliknya perlu lebih meluas.

Menurutnya, usahawan harus berani meneroka dan mengembangkan pasaran ke luar negara seterusnya ke peringkat global yang berupaya memberi lebih pulangan.

“Menyedari hakikat ini kerajaan Kedah amat komited dalam usaha meningkatkan pembangunan usahawan di negeri ini sehingga mampu mencapai tahap global,” katanya ketika merasmikan Kedah Halal Festival 2022 di Amanjaya Mall di sini pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Firdaus Ahmad.

Menurut Muhammad Sanusi, persediaan memasarkan produk halal dengan lebih meluas harus sentiasa ada memandangkan industri halal sentiasa mendapat permintaan tinggi.

“Sekurang-kurangnya kita dapat mengeksport produk ke negara ASEAN pun cukup memadai untuk masa kini,” katanya.

Beliau menjelaskan, Malaysia terkenal di peringkat global dalam bidang industri halal termasuk kesedaran pengguna yang tinggi tentang persijilan halal.

Dalam perkembangan berlainan, beliau bersyukur kerana Festival Halal Kedah 2022 yang dianjurkan kali keempat oleh kerajaan Kedah merupakan signature event dalam kalendar program tahunan.

Festival yang bermula 28 hingga 31 Julai itu bertujuan menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan Kedah yang terlibat dalam industri halal memperagakan dan memasarkan produk serta perkhidmatan mereka.

Tahun ini, sebanyak 120 reruai mengambil bahagian merangkumi jualan produk makanan, kosmetik, produk halal, food truck dan penglibatan agensi kerajaan termasuk pemeriksaan kesihatan, derma darah dan perkhidmatan bas Ar-Rahnu Yapeim.