KUALA LUMPUR, 29 Julai – Lanjutan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA bagi mengekalkan tempoh tahanan 28 hari yang diluluskan menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat adalah sangat tepat dan betul, demi mengekalkan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata langkah yang telah dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bertepatan kerana kesalahan yang ada dalam Jadual Pertama SOSMA adalah jelas merupakan kesalahan-kesalahan besar yang melibatkan kesalahan-kesalahan keselamatan dan mustahil boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam seperti kes-kes jenayah lain dalam Kanun Keseksaan.

“Dengan ini, katanya, subseksyen berkenaan akan terus berkuat kuasa selama lima tahun lagi selepas tarikh tamatnya pada 31 Julai ini.

“Siasatan kes-kes keselamatan adalah rumit dan memerlukan masa untuk dilengkapkan terutamanya bagi mendapatkan keterangan daripada orang yang ditahan dan bagi mengesan rakan-rakan sejenayah yang masih bebas.

“Siasatan kes terutamanya bagi kesalahan keganasan yang bersifat rentas sempadan memerlukan bantuan bersama dalam perkara jenayah daripada negara luar dan ini memerlukan masa yang lama.

“Maka dengan ini pelanjutan tempoh kuat kuasa adalah signifikan bagi siasatan kes-kes yang melibatkan aspek teknikal dan saintifik serta turut memerlukan masa dan ketelitian,” katanya ketika membahaskan usul menyokong Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, SOSMA di Dewan Negara, pada Rabu lalu.

Jaziri berkata semua pihak seharusnya mengenepikan perbezaan fahaman politik dan sentimen parti atau peribadi untuk menyokong sepenuhnya usul ini bagi memastikan keselamatan rakyat dan negara tercinta ini akan dapat terus dipelihara.

Ini kerana, katanya, pelaksanaan Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta 747 sering dikecam oleh beberapa pihak kerana didakwa zalim.

“Ia malah disamakan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan oleh kerajaan pada 22 Jun 2012 walaupun kedua-duanya jauh berbeza.

“Namun hakikatnya banyak negara lain seperti Singapura dan Amerika Syarikat hingga sekarang masih menguatkuasakan akta seumpama ISA.

“Kita juga perlu maklum bahawa SOSMA sebenarnya sangat berbeza daripada ISA kerana prosedurnya yang lebih ketat dan tidak boleh digunakan untuk membuat tahanan politik.

“Ini terkandung di dalam subseksyen 4(3) yang menyebut ‘Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya.'” jelasnya.

Selain itu, Jaziri berkata mengikut subseksyen 4(9), pegawai polis yang menjalankan penyiasatan itu hendaklah mengemukakan kertas siasatan kepada Pendakwa Raya pada hari ke 21 tahanan ditahan.

Ujarnya, ini bermakna pihak polis sebenarnya mempunyai masa yang pendek, iaitu 20 hari sahaja, untuk membuat siasatan, di mana tahanan ada akses kepada peguam dan selepas itu mereka akan dibicarakan di mahkamah terbuka.

“Ini jauh berbeza daripada ISA di mana tempoh tahanan dibenarkan selama 60 hari, mereka tidak ada akses kepada peguam dan selepas itu perintah tahanan dikeluarkan tanpa bicara.

“Subseksyen 4(11) juga menyebut subseksyen 4(5) hendaklah disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan jika suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.

“Inilah yang cuba dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah pun mengusulkan di Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu mengenai pelanjutan kuat kuasa subseksyen 4(5) bagi tempoh lima tahun lagi mulai daripada 31 Julai,” katanya.

Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, atau lebih dikenali sebagai SOSMA, dilakukan bertujuan untuk mengekalkan ketenteraman awam, keselamatan dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

SOSMA juga memperuntukkan langkah-langkah khas berhubung dengan kesalahan keselamatan dan digubal untuk membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, apatah lagi dunia hari ini berhadapan dengan ancaman-ancaman baru yang merentas sempadan.

Antara perkara yang dianggap ancaman di bawah SOSMA antaranya menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong; memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang dan Parlimen berpendapat bahawa adalah perlu tindakan itu dihentikan.

SOSMA yang telah berkuat kuasa sejak 22 Jun 2012 turut menyediakan langkah-langkah khas bagi menangani ancaman kedaulatan negara dan mengekalkan ketenteraman awam, berikutan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.