KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sarawak, Lt. Madya (B) Duke Janteng berkata pandangan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membahaskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA kelmarin, dilihat cukup tepat dan padat.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Bintulu berkata ini kerana Muhyiddin pernah berada dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semestinya amat arif mengenai isu SOSMA.

“Saya berharap agar isu SOSMA tidak dipolitikkan memandangkan tanggungjawab menjaga keamanan negara adalah terletak dibahu setiap rakyat Malaysia,” katanya kepada Penerangan BERSATU.

Pada Rabu lalu, Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin dilihat tenang menjawab pertanyaan Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang walaupun bertalu-talu ditanya soalan oleh pembangkang ketika ketika membahaskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Muhyiddin berkata beliau boleh berkawan dengan pihak pembangkang tetapi menegaskan soal undang-undang tidak ada kompromi.

Dewan Rakyat meluluskan usul pelanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma selama lima tahun lagi walaupun mendapat tentangan daripada pihak pembangkang.

Pembangkang gagal dalam usaha menyekat usul berkenaan semasa undi belah bahagi apabila seramai 111 ahli parlimen mengundi menyokong, 88 mengundi menentang, manakala 21 lagi tidak hadir.

Dalam pada itu, Duke berkata SOSMA lulus menunjukkan bahawa 111 Ahli Parlimen telah menyokong usul tersebut.

Katanya, kelulusan Akta SOSMA adalah bertepati memandangkan isu ini bukan satu isu yang dipandang enteng.

“Ini membolehkan pihak polis melanjutkan penahanan individu yang telah ditangkap dibawah SOSMA sehingga 28 hari tanpa dihadap ke hadapan Majistret.

“Tiada siapa yang kebal daripada undang-undang di Malaysia. Undang-undang ini akan terlihat secara positifnya mengekalkan keamanan dalam negara.

“Tahniah kepada Presiden kerana ketenangan beliau membahaskan usul tersebut dan syabas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di atas kejayaan membentangkan usul itu yang akhirnya diluluskan,” katanya.

Katanya, beliau sendiri pernah berada dalam khidmat KDN selama lebih 20 tahun menganggap RUU itu adalah bertepatan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.