Kehancuran kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) telah merangsang kemunculan organisasi bukan siasah untuk menegakkan semula apa yang diistilahkan sebagai pemerintahan dominen peribumi (PDP) menerusi PRU15.

PDP bukannya pemerintahan seratus peratus Peribumi, Melayu dan Islam. Sebaliknya, adalah pemerintahan Malaysia berindukkan kuasa politik kelompok ini, yang dikongsikan secara saksama dengan bukan Peribumi.

Kekalahan di atas juga mendorong pelbagai pertubuhan prihatin untuk memperhebatkan lagi iltizam mereka terhadap kebangkitan semula kuasa politik Peribumi, Melayu dan Islam ala-PDP di Malaysia, melalui PRU15.

Hakikat di atas adalah testimoni bahawa PDP adalah satu susunan politik (political order) yang sesuai dengan realiti demografi atau penduduk, hakikat sosioekonomi, dan struktur kemajmukan masyarakat Malaysia; di mana umat Peribumi, Melayu dan Islam adalah warganegara paling besar jumlahnya atau golongan super majority.

Ia juga antara petunjuk bahawa pemerintahan bukan PDP, seperti Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Malaysia hampir 20 bulan mulai 10 Mei 2018; telah tidak menerima sokongan rakyat super majority di negara kita.

Organisasi yang mendukung aspirasi PDP, seperti Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM); dan badan yang prihatin terhadap kebangkitan semula kuasa politik Melayu menerusi PRU15, seperti Majlis Perundingan Melayu (MPM); bergerak bebas tanpa sebarang ikatan dengan mana-mana parti politik pemerintah atau pembangkang.

Sebilangan besar anggota QIAM pimpinan Dato’ Sirajuddin Salleh, mantan Timbalan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan bekas Timbalan Presiden PERKASA; dan ahli MPM yang diketuai oleh Prof. Datuk Dr Hasan Mad; adalah mantan elit perkhidmatan awam, elit polis dan ketenteraan, ilmuan, cendakiawan, serta aktivis sosial.

Kebanyakan aktiviti dan kenyataan media QIAM dan MPM di era selepas PRU-14 memang membuktikan keberkecualian mereka terhadap politik berparti atau partisan politics. Tetapi, komitmen dan kesungguhan mereka terhadap kebangkitan semula kuasa Peribumi di Malaysia adalah amat nyata.

Ini serupa dengan komitmen, kesungguhan, aktiviti dan kenyataan media beberapa lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di merata negara, termasuk PERKASA pimpinan Syed Hassan Syed Ali, yang dilabelkan sebagai rasis; dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pimpinan Haji Aminuddin Yahaya, yang didakyahkan sebagai ekstremis Islam.

Bagaimanapun, sumber-sumber mengatakan, hampir seluruh organisasi di atas bergerak tanpa dana yang mencukupi, disebabkan pendirian mereka yang tidak mahu terikat dengan mana-mana kumpulan partisan politics.

Masalah ini menimpa mereka, walaupun mereka mempunyai potensi besar untuk menggerakkan inisiatif penyatuan politik Peribumi, Melayu dan Islam yang amat diperlukan di negara kita sekarang.

Walaupun keanggotaan mereka merangkumi hampir seluruh lapisan masyarakat Peribumi, Melayu dan Islam; tetapi mereka seolah-olah terperangkap dalam sesawang dilema kewangan yang menjejaskan keberkesanannya.

Mereka juga mempunyai naratif baharu mengenai kebangkitan semula kuasa politik Peribumi, Melayu dan Islam di era menjelang PRU15; namun naratif ini hanya terpendam dalam sanubari kepimpinannya akibat kekangan di atas.

Dilema seperti ini amat merugikan umat Peribumi, Melayu dan Islam yang kini amat prihatin dan sangat merindui gerakan penyatuan dan perpaduan politik mereka menjelang PRU15.

Ini kerana fenomena gila kuasa di kalangan segelintir pemimpin parti politik seperti UMNO, dikatakan sedang menjejaskan imej, maruah, dan wibawa kuasa politik Peribumi, Melayu dan Islam di negara kita.

Kekalahan BN yang ditunjangi oleh UMNO dalam PRU14, akibat dakwaan rasuah dan kleptokrasi pula, menyebabkan segolongan kita hilang keyakinan terhadap PDP ala-UMNO.

Memang tidak mustahil untuk UMNO memulihkan semula kuasa politiknya selepas kalah dalam PRU14; tetapi fenomena gila kuasa yang mencengkamnya sekarang kelihatan semakin menjadi-jadi, hingga menyebabkan segolongan kita jelak dan sinis.

Pengunduran BERSATU daripada PH, untuk membentuk PDP menerusi Perikatan Nasional (PN), memang satu tindakan yang dialu-alukan oleh segolongan kita selaku umat super majority Malaysia.

PDP ala-BERSATU pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini bertujuan untuk memulihkan kuasa pemerintahan negara kita menerusi pendekatan yang lebih berhemah, bermaruah dan beramanah; selaras dengan tuntuan Abad ke-21 yang menitikberatkan anti-rasuah dan membenci penyalahan guna kuasa di negara kita.

Tetapi, PDP ala-BERSATU pula dikhianati oleh segolongan warga komponen BN, hingga Muhyiddin selaku Perdana Menteri Kelapan, terpaksa mengosongkan jawatannya akibat dakyah, tohmah, dan fitnah yang dikaitkan kononnya dengan kelemahan PN dalam menangani pandemik Covid-19.

Sekarang kita mempunyai PDP ala-Keluarga Malaysia (KM) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden UMNO. Malangnya, PDP ala-KM ini juga seolah-olah sedang digoncang, ditendang dan diterajang oleh segolongan orang UMNO.

Lantas, apa yang harus kita, selaku warganegara Malaysia super majority, lakukan untuk membentuk dan menaja satu PDP yang kuat serta bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa; untuk memerintah Malaysia selepas PRU15?

Ini soalan cepu emas untuk kita semua, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad selaku negarawan yang sentiasa berfikiran strategik dan amat dihormati; Muhyiddin, Tan Sri Haji Hadi Awang, serta kepimpinan tertinggi bukan Peribumi dalam BN dan PN.

Soalan cepu emas ini juga kita tujukan kepada Sirajuddin, Hassan, Syed Hassan, Aminuddin serta seluruh kepimpinan NGO, masyarakat sivil, dan lain-lainnya di merata Malaysia, yang prihatin terhadap kemunculan semula PDP berwibawa, bermaruah dan beramanah.

Soalannya, adakah kita tergamak untuk melihat kuasa Peribumi, Melayu dan Islam semakin terkontang-kanting umpama telur di hujung tanduk, hingga tidak mampu memperjuangkan nasib seluruh rakyat Malaysia di hari muka; atau sanggupkah kita bertindak radikal untuk menggesa seluruh parti politik Peribumi, Melayu dan Islam; dibubar dan digantikan dengan satu pertubuhan siasah yang baharu, menjelang PRU15?

Jawapan kepada soalan di atas, kita serahkan kepada seluruh tokoh besar politik, dan tokoh besar NGO yang mahu memunculkan semula kuasa PDP di era selepas PRU15.

Jika mereka benar-benar mahukan satu PDP yang mantap, bermaruah, berhemah dan beramanah di era selepas PRU15; kita desak mereka selesaikan masalah di atas. Mereka juga mesti segera bertindak ke arah pembentukan PDP yang kita cita-citakan.

Tetapi, seandainya mereka tidak tangani masalah di atas, dan gagal membentuk PDP tersebut; kita hanya mempunyai satu pilihan; iaitu memohon kepada Allah, agar negara kita terselamat daripada petaka besar, akibat kehilangan kuasa politik Peribumi, Melayu dan Islam; selepas PRU15.

Penulis adalah Ruhanie Ahmad, penganalisis keselamatan dan pertahanan nasional, dan mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor, 1990-2004. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.