KUALA LUMPUR, 29 Julai – Pemerkasaan kanak-kanak lepasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Insiatif Pembangunan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber bagi menangani isu penipuan siber, antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Pertama Majlis Sosial Negara (MSN) 2022 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata turut dibincangkan, pelantikan Gender Focal Point (GFT) di setiap kementerian dan agensi untuk meneroka potensi wanita dalam ekonomi.

“Kerjasama bersepadu semua pihak terlibat amat diperlukan dalam memastikan kejayaan dasar pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri-menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat.

Mesyuarat itu memutuskan penubuhan satu pasukan khas yang disertai agensi-agensi kerajaan bagi menyediakan laluan khas kepada kanak-kanak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran mahupun akademik.

Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan bertanggungjawab menyediakan dana pendidikan dan dana penempatan serta laluan kerjaya, manakala Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menjadi penjamin bagi membantu kanak-kanak lepasan institusi yang tiada dokumen dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.

Perkeso dan MARA berperanan dalam menyediakan latihan serta peluang pekerjaan selepas mereka tamat pengajian.

Selain itu, kerajaan juga akan mewujudkan Inisiatif Pembangunan Pelan Induk Kesedaran Keselamatan Siber bagi Menangani Isu Penipuan Siber bagi melahirkan warga siber berpengetahuan, bertanggungjawab serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penjenayah siber.

Malah, kerajaan juga bersetuju mewujudkan Gender Focal Team (GFT) di setiap kementerian dan agensi, sebagai usaha meneroka potensi wanita dalam ekonomi serta mengarus perdana gender bagi setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif.

GFT akan dianggotai sekurang-kurangnya tujuh ahli bagi mengkoordinasi dan melaksana inisiatif mencapai kesaksamaan gender.