MARANG, 29 Julai – Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Terengganu pada Sabtu ini, bakal menyaksikan kemeriahan luar biasa dengan jangkaan seramai 10,000 orang menghadiri majlis berkenaan.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, majlis yang diadakan di Dewan Tok Guru, perkarangan Masjid Rusila, Marang, Terengganu itu akan dihadiri kesemua parti komponen termasuk daripada Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Pelancaran PN Terengganu sebenarnya adalah untuk membuktikan kepada rakyat Negeri Terengganu bahawa PN adalah satu gabungan yang meyakinkan kita menghadapi PRU15.

“Ia membuktikan kesungguhan yang tiada tolak bandingnya. Kesungguhan PAS, Bersatu, Gerakan menggembeleng tenaga untuk memastikan PN dapat mempertahankan Negeri Terengganu seperti mana yang kita ada pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, semangat anak muda yang sebelum ini ‘suram’, dapat dilihat kebangkitan mereka yang secara sukarela membantu persiapan majlis berkenaan selama seminggu.

Razali berkata, ia merupakan bukti penerimaan rakyat Terengganu terhadap parti yang memperjuangkan rakyat dan berintegriti.

“Kalau kita tengok dalam seminggu, kita tengok kebangkitan anak-anak muda yang bersama-sama dengan kita, di kalangan mereka yang tidak pernah masuk parti, datang secara sukarela memasang bendera, memacak bendera bermula dari Jambatan Kuala Ibai hingga ke Jambatan Marang.

“Di situ kita nampak ada sokongan yang selama ini mungkin ‘sunyi’, ini satu permulaan yang saya lihat yang sangat baik. Penerimaan orang ramai kita nampak ada satu ‘base’ untuk memberi tawaran baharu kepada rakyat Terengganu,” katanya.

Menurut beliau, majlis berkenaan bakal membuka tirai dengan ucapan alu-aluan daripada Menteri Besar merangkap Pengerusi PN Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, disusuli ucapan daripada Timbalan Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum pelancaran disempurnakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pada masa sama kita sampaikan watikah pengerusi kawasan iaitu Parlimen, 8 Parlimen termasuk jawatankuasa negeri,” ujarnya.

Kata Razali, Masjid Rusila dipilih sebagai lokasi bagi mengadakan majlis berkenaan kerana kawasannya yang luas dan terdapat kemudahan sedia ada bagi mengadakan majlis.

“Kawasan ia luas, dan cukup untuk mengadakan majlis pelancaran.

“Kita buat pelancaran itu di tempat yang sudah ada dewan orang ramai, siap cuma kita tambah sikit-sikit. Saya rasa Rusila tempat yang terbaik, lagipun rumah Datuk Seri Abdul Hadi Awang di situ,” katanya.

Selain daripada majlis pelancaran, aturcara bermula pada pukul 9 pagi dimulakan dengan sesi dialog Ruang Belia – Majlis Pemulihan Negara (MPN), perjumpaan bersama nelayan serta jamuan rakyat, perjumpaan Pimpinan BERSATU Negeri Terengganu, mesyuarat PN Negeri Terengganu, serta Kuliah Maghrib Khas oleh Ustaz Kamaruzaman Abdullah.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai terutamanya yang berada berdekatan untuk menghadiri bagi menzahirkan sokongan kepada PN seterusnya dapat memeriahkan serta menambah barakah majlis berkenaan. – SatuBerita