KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki diingatkan supaya tidak sombong kerana jawatan yang diperoleh masa ini juga adalah sokongan dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Operasi Pilihan Raya BERSATU Johor, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard berkata tidak salah untuk PN membangkitkan rasa kecewa mahupun keresahan atas apa jua persetujuan dan perjanjan yang telah dicapai oleh perdana menteri bersama pimpinan PN.

“Perdana Menteri hari ini, berada di jawatan beliau kerana sokongan daripada parti terbesar kerajaan pada hari ini iaitu parti PN.

“Ini adalah hakikat dan fakta yang harus diterima beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Badrul berkata sindirian Asyraf seolah-olah agar PN segera menarik sokongan adalah bukti betapa ketidakmatangan beliau dalam politik dan hanya mementingkan segelintir kelompok sendiri.

Katanya, soal masalah rakyat tidak dipeduli, yang penting percaturan politik UMNO dapat dibuat dengan adanya pilihan raya.

“Amat menjengkelkan apabila sebagai seorang Ketua Pemuda sebuah parti ultra-Melayu, ratib dan zikir beliau saban minggu adalah menjurus ke arah memecahbelah kesepakatan yang dibentuk dalam kerajaan hari ini antara parti-parti utama Bumiputera negara iaitu, BERSATU, PAS, UMNO, GPS, PBRS dan STAR.

“Kepentingan rakyat diketepikan, proses pemulihan ekonomi negara dianggap tidak perlu.

“Yang penting pada beliau adalah agenda untuk membolehkan kluster Mahkamah menyegerakan pilihan raya wajib terlaksana,” katanya.

Tambahnya, saat rakyat mahukan ahli politik fokus pada soal dasar dan pemulihan ekonomi rakyat, Asyraf mahukan adalah perpecahan dan ketidakstabilan terus berlaku di dalam kesepakatan kerajaan hari ini.

“Amat menjengkelkan. Saya seru Dr Asyraf untuk fokus membantu Presiden dan mantan Presiden parti beliau untuk membersihkan diri daripada segala tuduhan salahguna kuasa dan rasuah menyeleweng dana rakyat dan negara sebelum ini.

“Serahkan soal mentadbir kepada Perdana Menteri dan barisan kabinet kerana saya yakin, mereka lebih maklum bagaimana untuk menyelesaikan apa jua isu yang berlaku di dalam kesepakatan ini tanpa perlunya Dr Asyraf mengugut kami untuk tekan butang itu dan ini,” katanya.

Semalam Asyraf berkata PN tidak perlu mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendapatkan juga jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri lain.

“Kalau nak tekan ‘button’, tekanlah sekarang.

“Kenapa takut sangat nak hadapi PRU15. Biarlah rakyat tentukan secara mutlak siapakah selayaknya untuk diberikan mandat yang akan menentukan lakaran masa depan kestabilan negara dan kesejahteraan mereka,” kata Asyraf di Facebook.

Semalam, PN melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Perdana Menteri yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh memenuhi terma-terma penting perjanjian beliau dengan parti itu.

Justeru, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan berkata, PN akan menghantar delegasi untuk menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut.