BALING, 30 Julai – Seramai 20 keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir kali kedua mendapat perhatian BERSATU Bahagian Baling.

Ketua Bahagian BERSATU Baling Mohd Taufik Yaacob berkata bantuan segera digerakkan apabila memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bagi meringankan beban sementara.

“Ahlhamdulillah, petugas agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan NGO-NGO turun membantu memastikan mangsa banjir akan dapat perhatian dan tindakan sewajarnya.

“Hari ini, kami memberi sumbangan daripada Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berupa toto, bantal, kain selimut, makanan dan lain-lain lagi untuk disampaikan kepada mangsa banjir,” katanya selepas melawat dan menyampaikan sumbangan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Iboi, hari ini.

Hujan lebat kira-kira jam 2 petang selama tiga jam menyebabkan paras air Sungai Kupang meningkat dan menyebabkan limpahan berlaku di beberapa rumah penduduk terutama yang terletak di tebing sungai.