KUALA LUMPUR, 30 Julai – ‘Badang’ negara, Aniq Kasdan mempamer kebangkitan hebat untuk memintas atlet India, Sanket Mahadev Sargar dalam kategori 55 kilogram (kg), sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 sebentar tadi.

Atlet berusia 20 tahun ini pada awal awalnya mengekori rapat Sanket dalam acara snatch untuk mencatat angkatan seberat 107kg.

Memasuki acara clean and jerk, Aniq bermula dengan baik apabila melakukan angkatan 138kg, namun memasuki angkatan kedua dia alami kesukaran.

Peluang buat Aniq tatkala Sanket mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri ketika mahu melakukan percubaan kedua dan memberi kesukaran untuknya membuat angkatan di percubaan ketiga.

Melihatkan situasi tersebut, Aniq mengambil peluang dan berjaya melakukan angkatan 142kg untuk mengumpul angkatan keseluruhan 249kg, yang juga rekod baharu temasya.

Pingat gangsa milik Dilanka Isuru Kumara Yodage dari Sri Lanka.

Selepas ini seorang lagi badang negara, Aznil Bidin bakal turun dalam acara 61kg.