BACHOK, 30 Julai – Calon muda perlu diberi ruang yang lebih luas untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memenuhi ‘selera’ pengundi berusia muda.

Ketua Armada BERSATU, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, hal ini kerana kebanyakan golongan itu lebih cenderong memilih calon muda yang bersih dan berketerampilan.

“Bukan sahaja BERSATU, semua parti lain dalam komponen Pakatan Nasional (PN) turut mengambil serius perkara ini.

“Begitu juga dengan Barisan Nasional (BN), hal ini kerana golongan ini (18 tahun) sudah berhak memilih pemimpin mengikut selera mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Kilang Projek D’Raja Kelantan di Telong di sini pada Jumaat.

Menurutnya, selain pengundi muda golongan atas pagar perlu diberikan perhatian.

Katanya, golongan atas pagar tidak menyokong mana-mana parti politik dilihat lebih berminat untuk memilih tokoh pemimpin muda sebagai wakil rakyat.

Pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun di negara ini dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan secara rasmi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diwartakan sebagai P.U.(B) 615/2021 dan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.