KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kejayaan Malaysia ke atas Jamaica dalam saingan berpasukan Sukan Komanwel Birmingham 2022 awal pagi tadi memang sudah diduga.

Begitupun, apa yang mencuri tumpuan peminat badminton adalah sikap baik hati jurulatih Malaysia, Hendrawan yang sanggup memakai stokin untuk memberikan kasutnya kepada pemain Jamaica, Samuel Ricketts yang koyak ketika menentang pemain negara, Ng Tze Yong.

Tindakan itu menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang memuji semangat kesukanan sebenar yang tidak ternilai harganya.

“Pertandingan bukan sekadar mengejar pingat tetapi nilai persahabatan dan kebersamaan yang menjadi keutamaan.

“Atlet dan para pegawai menjadi duta dalam mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Syabas!” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.

Detik-detik itu disiar dalam rakaman siaran langsung di seluruh dunia.

Tapak kasut dipakai Ricketts rosak ketika sedang beraksi menentang Tze Yong dalam saingan Kumpulan D memaksa perlawanan dihentikan seketika.

Ricketts cuba untuk meneruskan aksi dengan menggunting dan menanggalkan bahagian yang terkoyak, namun ia kurang selesa sebelum jurulatih Jamaica datang memberikan kasut sukan daripada rakan sepasukannya.

Selepas memakainya, Ricketts mendapati ia masih belum selesa kerana saiz berbeza, dan akhirnya Tze Yong serta Hendrawan datang untuk bertanyakan saiz kasut dipakainya.

Hendrawan membuka kasutnya dan memberikan kepada Ricketts kerana saiz dan jenama kasut digunakan adalah sama.

Hendrawan kembali meneruskan tugasnya dan duduk di kerusi jurulatih di belakang gelanggang dengan hanya memakai stokin putih.

Dalam perlawanan itu, Tze Yong tidak berdepan masalah untuk mengatasi Ricketts menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-16, malah lawannya turut menggunakan kasut Hendrawan bagi aksi beregu.

Malaysia menumpaskan Jamaica 5-0, sekali gus mengesahkan tiket suku akhir.