KUALA TERENGGANU, 30 Julai – Peranan belia amat penting dalam meningkatkan ekonomi serta membantu proses pemulihan negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses pemulihan negara selepas berdepan cabaran pandemik Covid-19 akan menghadapi kesukaran sekiranya tiada penyertaan daripada golongan tersebut.

“Di sini saya hendak memberitahu, tanpa ada penyertaan belia dalam usaha memulihkan ekonomi, ia tidak akan pulih, itu penting bagi kita.

“Mereka adalah satu potensi yang cukup besar jika kita dapat jana keupayaan, kemahiran dan tenaga mereka dari segi mental dan fizikal untuk membantu supaya ekonomi kita pulih, itu adalah satu strategi yang tepat,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan mengenai peranan kerajaan dalam memperkasakan ekonomi belia semasa Majlis Dialog Pengerusi MPN Bersama Belia di Paya Bunga Hotel, Terengganu.

Tambahnya, antara inisiatif yang telah diperkasakan untuk meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor ekonomi termasuk memperkenalkan bantuan e-Belia menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat & Ekonomi (PEMERKASA) yang diperkenalkan pada 2021.

“Sebahagian besar golongan belia pakar dan mahir dalam menggunakan teknologi digital.

“Jika perkara ini dapat diterapkan dengan belia menggunakan teknologi digital, maka usaha pemulihan itu akan dapat dilakukan dengan lebih cepat,” katanya.

Jelasnya, kemahiran golongan belia dalam menggunakan teknologi tersebut mampu menjadi pendorong bagi peniaga kecil dan sederhana untuk meningkatkan kemampuan perniagaan yang dijalankan.

Sementara itu, ketika menjawab mengenai penglibatan golongan belia dalam arena politik tanah air, bekas Perdana Menteri itu melihat perkara itu penting dalam membina sebuah negara yang lebih baik.

Katanya, kesedaran politik mampu menjadi pemangkin dalam membina sebuah negara yang bersifat berdaya saing.

“Memang satu perkara yang penting untuk kita meningkatkan kesedaran mengenai isu yang berlaku dalam negara supaya kita dapat melahirkan satu cita-cita dalam mencapai perkara yang lebih baik berbanding pemimpin terdahulu.

“Jadi, ini ada dalam jiwa anak-anak muda. Walaupun ia bukan satu perkara yang mudah, tetapi setidak-tidaknya ada idealisme untuk melihat Malaysia menjadi negara yang terbaik di dunia,” katanya.