KUALA TERENGGANU, 30 Julai – Perikatan Nasional (PN) menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menentukan tarikh pertemuan bagi membincangkan kembali terma perjanjian yang masih belum dipenuhi melibatkan parti gabungan itu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara terma akan dibincangkan melibatkan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada BERSATU serta bilangan jawatan dalam kabinet untuk diisi wakil rakyat PN.

“Saya tak nak ulang lagi. Perkara tu sudah jelas. Itu terserah kepada Perdana Menteri untuk tetapkan masa,” katanya kepada pemberita selepas program bersama nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, di sini, pada Sabtu.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan susulan selepas Majlis Tertinggi PN memutuskan untuk menghantar delegasi bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan terma penting yang terkandung dalam perjanjian ketika gabungan itu ditubuhkan pada Mac 2020.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Khamis menyatakan kekecewaan terhadap Ismail Sabri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting terkandung dalam perjanjian antara gabungan parti itu.

Katanya, pihaknya akan menghantar delegasi untuk bertemu Ismail bagi membincangkan pelaksanaan terma perjanjian kerjasama antara gabungan itu dalam tempoh terdekat.