KUALA TERENGGANU, 31 Julai – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin kehadiran orang ramai semalam yang disifatkan sebagai melimpah ruah dalam Pelancaran PN Terengganu menunjukkan gabungan parti ini semakin diterima rakyat.

Beliau berkata terharu melihat kehadiran lebih 10,000 penyokong Perikatan Nasional di pekarangan Masjid Ruslia, Marang.

“Alhamdulillah majlis pelancaran Perikatan Nasional Negeri Terengganu malam tadi berlangsung dalam suasana meriah dan mendapat sambutan hangat.

“Kehadiran orang ramai sehingga melimpah ruah ke kawasan luar khemah utama mengingatkan saya kepada pemandangan yang sama ketika majlis pelancaran PN Johor dan Kelantan sedikit waktu dahulu,” katanya.

Tambahnya, ini merupakan satu lembaran baharu dalam politik tanah air dan menjadi petanda penerimaan rakyat terhadap gabungan parti dalam PN.

Katanya, selain itu kehadiran kepimpinan tertinggi peringkat nasional dan negeri pada majlis ini juga membuktikan PN sudah bersedia untuk menjadi satu tawaran baharu kepada rakyat Malaysia.

“Seperti yang pernah saya sebut sebelum ini keberadaan kita dalam politik negara adalah untuk memberi pilihan yang lebih baik kepada rakyat bagi menjadikan Malaysia lebih maju dan lebih makmur.

“Pada majlis tersebut saya turut menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Perhubungan PN negeri kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan ketua-ketua Perhubungan kawasan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan PAS Negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Datuk Dr Ahmad Samsuri selaku Pengerusi PN Terengganu yang berjaya menganjurkan majlis ini dengan cemerlang.

“Tahniah dan syabas juga kepada Ketua Badan BERSATU negeri di bawah kepimpinan Datuk Razali Idris yang bekerja keras dalam menjayakan majlis bersejarah ini,” katanya.