KUALA LUMPUR, 31 Julai – Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru seluruh rakyat agar memberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata, walaupun gabungan parti itu tidak menyediakan manifesto ketika mengambil alih kerajaan, agenda rakyat yang diutamakan membuktikan prestasi cemerlang PN dalam mentadbir negara.

“Walaupun tidak mempunyai manifesto, tetapi PN sudah membuktikan kemampuan apabila berjaya menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi rakyat ketika kemuncak penularan pandemik COVID-19, dua tahun lalu.

“Agenda utama PN adalah memulihkan ekonomi dan menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi rakyat yang masih terkesan berikutan kenaikan harga barang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN peringkat Terengganu di pekarangan Masjid Rusila, di sini, malam semalam.

Majlis pelancaran PN peringkat negeri itu dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, PN turut menawarkan kepada rakan parti lain termasuk UMNO supaya mengambil tanggungjawab bersama untuk menyelamatkan negara.

“Kita minta rakyat memberi mandat kepada PN untuk membina kerajaan yang kukuh dan kuat. Sebab itulah kita ambil langkah melancarkan PN di seluruh negara.

“Kita ajak rakan-rakan daripada UMNO dan parti-parti lain ikut sama dalam PN untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab selamatkan negara, bukan berebut kuasa,” katanya.