KOTA KINABALU, 31 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis lalu, bakal menghentikan tindakan yang boleh menumbangkan kerajaan yang tidak dipilih secara demokratik.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata beliau berharap akta terbabit sedikit sebanyak bakal memastikan kestabilan dalam kerajaan terutama di negeri ini yang sering menyaksikan wakil rakyat bertukar parti.

“Kita (Sabah) sering menjadi salah satu daripada faktor yang menumbangkan kerajaan yang ada dan menaikkan kerajaan baharu. Kalau masih ingat pada 2018, lompat-melompat juga akhirnya membawa pengakhiran kepada Barisan Nasional (BN) dan cara sama diguna untuk menaikkan kerajaan baharu.

“Harapan kita ialah akta ini akan menamatkan episod lompat-melompat yang boleh menumbangkan kerajaan yang tidak dipilih secara demokratik dan kita di Sabah mengalu-alukan akta ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir majlis Sambutan Hari Pahlawan dan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah di Padang Merdeka.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, pihaknya juga tidak mempunyai bantahan untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan akta baharu terbabit.

“Sudah jelas isu ini perlu dibincang dan diputuskan. Kita tidak mempunyai masalah selagi kerajaan negeri mengambil perhatian. Persoalannya adalah bila kita boleh buat sidang khas ini atau mungkin kita pertimbangkan semasa sesi pembentangan bajet November atau Disember depan.

“Apa yang paling penting ialah bagaimana membetulkan semula sesuatu perkara atau prinsip di sebalik tindakan yang telah ditetapkan. Kita percaya semua parti akan mematuhi prinsip (larangan bertukar parti) itu,” katanya.

Kepada cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili supaya persidangan khas mengenai undang-undang terbabit diluluskan di peringkat negeri dalam tempoh 60 hari, beliau berkata, tiada undang-undang menetapkan demikian.

“Tiada undang-undang memaksa perhimpunan (sidang khas DUN) untuk melakukannya dalam tempoh 60 hari. Saya fikir kita harus serah kepada kerajaan negeri, maksud saya setakat Sabah walaupun Sarawak, tiada siapa harus menentukan kita bila kita patut melakukannya,” katanya.

Khamis lalu, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berhubung larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.