KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberikan jaminan bahawa petani padi tidak lagi berdepan kelewatan bekalan padi.

Menteri MAFI, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata jamiman itu diberikan MAFI selepas peristawa itu berlaku membabitkan isu pengedaran benih padi sah bagi musim 1/2021.

“Lesen dan permit peruncit diberi kepada ejen, individu atau syarikat berdaftar dengan kerajaan dan bernaung di bawah pengeluar atau pemborong sedia ada untuk mengedarkan benih padi sah.

“MAFI juga sudah memperkenal kaedah baharu dalam menambah baik sistem pengedaran benih padi sah sedia ada iaitu hanya 30 peratus dilaksanakan PPK, manakala bakinya melalui pemborong lain dilantik di seluruh negara.

“Sejak sistem baharu ini dilaksanakan, rantaian pengedaran benih padi sah lebih teratur dan sistematik, sekali gus isu kelewatan juga dapat ditangani,” katanya menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ronald berkata demikian menjawab soalan lisan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang ingin tahun mengenai kelewatan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menurunkan subsidi benih padi kepada petani, selain rasional dan jaminan MAFI dan agensinya tidak mengganggu golongan penternak.

Tambahnya, pihaknya juga telah melaksanakan beberapa pendekatan bagi menjamin tiada kelewatan dalam mendapatkan benih padi sah.

Beliau berkata, ia membabitkan pelantikan 13 pemborong benih padi sah dan 12 syarikat pengeluar, melalui pengeluaran lesen borong oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

Dalam pada itu, Ronald turut menafikan pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), agensi dan pihak swasta bagi program MAFI akan mengganggu golongan sasar kementerian itu.

Sebaliknya, beliau berkata, pembabitan pihak berkenaan bertujuan menambah baik penyampaian perkhidmatan dalam suasana ekonomi pasca Covid-19 dan landskap ekonomi global semakin kompetitif.

“Kolaborasi awam-swasta juga disebut dalam Teras Dasar 2, Strategi 1 dan 2, Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) adalah sebagai pelengkap dan mengukuhkan lagi rantaian bekalan makanan negara.

“Melalui rangka kerjasama strategik antara kerajaan dan swasta, maka tidak timbul isu GLC, GLIC dan agensi lainnya akan mengganggu-gugat golongan sasar MAFI,” katanya.

Untuk rekod, sejumlah 50,000 pesawah di Kedah dam Perlis terkesan ekoran kelewatan penghantaran benih padi, Oktober tahun lalu.

Ini kerana benih terbabit perlu dihantar ke makmal Jabatan Pertanian bagi proses penilaian.