KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu, berjumlah 21,113,234 orang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, berkata daripada jumlah itu, seramai 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 tahun hingga 20 tahun, manakala baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas.

“Susulan penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun pada 15 Disember 2021, sudah menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang yang mana 1.2 juta orang adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun.

“Pertambahan pengundi dalam kalangan generasi muda adalah wajar dan mustahak bagi kerajaan untuk memastikan golongan ini bersedia dari aspek pengetahuan dan pemupukan nilai dalam membentuk negara bangsa terutama hak mengundi sebagai rakyat Malaysia,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Fasiah bertanyakan bilangan pengundi muda serta langkah kerajaan meningkatkan kesedaran dan kefahaman golongan pengundi muda mengenai demokrasi berparlimen dan tanggungjawab membina negara bangsa, khususnya dalam memilih pemimpin berwibawa, khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, Akademi Pilihan Raya (APR) melalui kerjasama pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, pertubuhan, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah mempergiat pelaksanaan Program Pendidikan Pengundi khususnya kepada golongan anak muda.

Katanya, ia termasuk di peringkat institusi pengajian tinggi, masyarakat dan komuniti, acara kementerian atau jabatan dan pentauliahan kepada golongan pendidik atau mahasiswa untuk memberikan pendidikan dan kefahaman mengenai proses pilihan raya.