INSIDEN seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang terbunuh setelah jatuh bangunan di Jalan Datuk Keramat, Georgetown di negeri itu pada 17 April lalu nampaknya seperti mula senyap.

Adakah ia didiamkan sahaja setelah heboh suatu ketika dahulu apabila doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun itu ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya?

Pada 6 Mei lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian doktor pelatih itu.

Namun, secara positif mungkin insiden tersebut sedang diperincikan siasatannya sama ada oleh polis mahupun kementerian berkaitan.

Apa pun, kejadian yang dikategorikan sebagai mati mengejut itu belum luput daripada ingatan orang ramai terutama ahli keluarga doktor pelatih berkenaan. Ini kerana banyak persoalan timbul melibatkan punca dan sebab musabab kejadian itu berlaku.

Timbul juga persoalan, adakah mangsa dalam tekanan kerana baru beberapa minggu bertugas di hospital berkenaan hingga menyebabkan nyawanya melayang? Apa pun, KKM harus tampil dan menyelesaikan masalah ini.

Ini kerana ia merupakan kejadian kedua berlaku melibatkan petugas di hospital sama. Kejadian sebelum ini berlaku pada Disember 2020 apabila seorang doktor meletak jawatan dan kemudian ditemui mati.

Oleh itu, jangan tunggu insiden seperti ini berulang lagi. Dalam hal ini, disarankan KKM melihat semula keperluan yang perlu ada dan persekitaran lebih sesuai untuk doktor dan petugas kesihatan berkhidmat.

NYAWA

Kita harus akui bahawa mereka ini barisan hadapan terutama ketika penularan Covid-19 yang melihatkan para petugas kesihatan sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan orang ramai.

Di samping itu, kerajaan melalui KKM perlu mengambil kira tekanan perasaan para doktor dan petugas kesihatan. Tidak terkecuali jika ada dakwaan mengatakan doktor pelatih dibuli oleh senior.

Dengan kata lain, kemungkinan ada senior yang sengaja memberi tekanan melampau atau berlebihan atau tekanan tidak sepatutnya kepada para doktor pelatih.

Kita faham, antara tujuan diberi sedikit tekanan kepada doktor pelatih itu ialah supaya mereka benar-benar bersedia apabila menjalankan tugas sebenar yang lebih mencabar. Sehubungan itu, kerajaan harus mengkaji semula formula lebih berkesan untuk doktor pelatih. Yang pasti, setiap permasalahan ada penyelesaiannya.

Mungkin KKM boleh dapatkan pandangan daripada orang-orang lama yang sudah bersara tetapi pernah menceburi bidang perubatan.

Juga cuba lihat suasana pekerjaan dalam bidang perubatan di negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Ini termasuk persekitaran kerja yang lebih kondusif dan sikap saling hormat-menghormati.

Sedikit sebanyak kita boleh belajar dan mengambil contoh dari negara-negara berkenaan. Selain isu ini, KKM juga jangan lupa mengenai lebihan 4,000 doktor kontrak yang kini masih menantikan keputusan kerajaan berhubung nasib dan masa depan mereka.

Oleh itu, kementerian perlu mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap permasalahan yang berlaku. Jangan senyap. Jangan sembunyikan fakta kerana akhirnya kelak rakyat tetap akan tahu apa yang berlaku.

Penulis adalah Dato’ Dr Zulkifli Abdul Aziz, Setiausaha Penerangan BERSATU Negeri Perak. Beliau juga seorang Pengerusi Persatuan Profesional Dialisis Malaysia (PPDM). Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.